SAYA TIDAK AKAN BENARKAN IA BERLAKU DI JOHOR – MOHD FARED


Amaran dan tekad kuat Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu merujuk kepada tertularnya sebuah poster bertajuk ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadualkan diadakan di Johor Bahru pada 20 Jun ini. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — “Saya bagi amaran!… Demi Allah saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

 

Amaran dan tekad kuat Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu merujuk kepada tertularnya sebuah poster bertajuk ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadualkan diadakan di Johor Bahru pada 20 Jun ini.

 

Katanya, Kerajaan Negeri Johor juga memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menganjurkan sebarang program yang mendorong orang ramai melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral.

 

“Saya bagi amaran! Demi Allah saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor. Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini.

 

“Jangan cuba berkelakuan buruk di Johor dengan mengajak orang melakukan maksiat secara terang-terangan dan tak bermoral,” tulisnya di laman Facebook rasminya semalam.

 

Mohd Fared Mohd Khalid juga memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mencegah dan menghalang kegiatan itu daripada berlaku dan mendapat tempat di Johor.

 

Beliau juga turut mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

 

Semalam tular sebuah poster bertajuk ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadual diadakan di Johor Bahru pada 20 Jun depan dari jam 4 petang hingga 9 malam yang dilihat mempromosi gaya hidup tidak bermoral menerusi kegiatan seks secara bebas.

 

Program tersebut dikatakan terbuka untuk semua lapisan masyarakat dan kaum namun peserta tidak dibenarkan mengambil gambar atau merakam sebarang video.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor