PUSAT DATA BERNILAI RM2 BILION DIBANGUNKAN DI SEDENAK.


Onn Hafiz (tengah) menyaksikan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Jual Beli Tanah Pelaburan Pusat Data di antara JLand Group (JLG) dan PDG di ibu negara. | Foto ihsan Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Pembekal perkhidmatan pusat data terkemuka di rantau Asia, Princeton Digital Group (PDG) membuat pelaburan bernilai RM2 bilion bagi membangunkan pusat data berkapasiti 150 megawatt (MW) di Taman Teknologi Sedenak (STeP), dekat Kulai.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, fasa pertama pusat data tersebut berkapasiti 60 MW dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2024.

 

“Saya berbesar hati menyaksikan pemeteraian Perjanjian Jual Beli Tanah Pelaburan Pusat Data di antara JLand Group (JLG) dan PDG di ibu negara. Pembangunan pusat data tersebut akan membawa nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion kepada Negeri Johor.

 

“Jumlah kapasiti pusat data yang dirancangkan oleh PDG adalah sebanyak 150 MW di atas tanah seluas 31.5 ekar,” tulis Onn Hafiz di laman Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz turut mengucapkan tahniah kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim atas kejayaan menarik pelaburan bernilai tinggi itu.

 

“Semoga Negeri Johor terus cemerlang dalam usaha menarik pelaburan baharu berteknologi tinggi, seterusnya dapat meningkatkan sosioekonomi Bangsa Johor,” katanya.

 

Sementara itu, Syed Mohamed berkata, JLG komited meluaskan peluang perniagaan dalam bidang pusat data sekali gus memanfaatkan prospek sektor berkenaan yang semakin berkembang.

 

“JLG mahu mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pusat data serantau selari dengan keupayaan untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

 

“Penceburan PDG di Johor dan STeP adalah pengesahan kukuh pada strategi dan penawaran JLG,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor