SEMBILAN PROJEK TEBATAN BANJIR DI JOHOR SEDANG DILAKSANA


YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air mengadakan lawatan ke Empangan Kahang serta meninjau pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Kahang.

 

Sembilan daripada sepuluh projek Tebatan Banjir Keutamaan Tinggi (TBBT) di Negeri Johor melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.45 bilion telah mula dilaksanakan manakala satu projek berada di fasa pra pelaksanaan.

 

Berita baik tersebut dimaklumkan menerusi taklimat khas berkenaan status semasa projek tebatan banjir oleh Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Johor.

 

Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri juga disifatkan sebagai projek berskala besar dan usaha jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir di daerah Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi menerusi peruntukan disalurkan Kerajaan Persekutuan.

 

Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah RTB Sungai Johor Fasa 1 Pakej 1, Kota Tinggi, RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 dan Pakej 2 di Segamat, RTB Bandar Batu Pahat, RTB Lembangan Sungai Kesang, Tangkak dan RTB Sungai Pemandi, Kota Tinggi.

 

Pelaksanaan projek berkenaan bakal mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat sekali gus memberi keselesaan dan perlindungan kepada lebih 87,000 penduduk setempat termasuk memastikan aktiviti ekonomi dan sosial penduduk tidak lagi terjejas.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air mengadakan lawatan ke Empangan Kahang serta meninjau pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Kahang yang memulakan operasi pada April tahun ini.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor serta YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor