JOHOR SASAR PENGELUARAN 40,000 TAN UDANG MARIN, JADI PENGELUAR UTAMA NEGARA

Kerajaan Negeri kini menyasarkan peningkatan pengeluaran sektor akuakultur kepada sekitar 38,000 hingga 40,000 tan metrik setahun menjelang 2027 bagi memperkukuh lagi industri perikanan serta meningkatkan pengeluaran hasil tempatan. | Foto FB Israk Abdullah
#IskandarPuteri – Johor terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor akuakultur apabila negeri ini kini menjadi pengeluar utama udang marin negara dengan sumbangan sebanyak 25.27 peratus.
Susulan kejayaan itu, Kerajaan Negeri kini menyasarkan peningkatan pengeluaran sektor akuakultur kepada sekitar 38,000 hingga 40,000 tan metrik setahun menjelang 2027 bagi memperkukuh lagi industri perikanan serta meningkatkan pengeluaran hasil tempatan pada masa akan datang.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah Projek Ternakan Udang Putih di Kampung Sungai Danga, Johor Bahru yang diusahakan oleh Persatuan Nelayan Negeri Johor (JOSFA) di kawasan seluas 4.075 ekar.
Projek berkenaan melibatkan 11 tangki yang terdiri daripada sembilan tangki ternakan dan dua tangki rawatan air, selain ia juga telah menghasilkan sebanyak 13.5 tan udang putih sejak mula beroperasi pada September 2025 hingga penghujung Disember 2025.
Hasil ternakan berkenaan turut dipasarkan di sekitar Johor Bahru, sekali gus menunjukkan potensi projek akuakultur tempatan dalam menyokong bekalan hasil perikanan serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti nelayan.
Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sektor akuakultur termasuk menyokong projek berpotensi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperluas peluang ekonomi kepada komuniti nelayan di Johor.
Usaha memperkukuh sektor ini juga penting bagi memastikan potensi sumber perikanan negeri dapat dimanfaatkan secara berterusan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pengeluaran makanan tempatan.
Terdahulu, YB Tuan Haji Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, mengadakan lawatan ke Projek Ternakan Udang Putih di Kampung Sungai Danga bagi meninjau perkembangan projek serta melihat sendiri kaedah ternakan yang dilaksanakan.
#JohorSafeZone
#AkuakulturJohor
#UdangPutih
#SungaiDanga
#JOSFA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


