SEPAKAT RTS, PLBEGJB PERLU TERUS DIBERI KEUTAMAAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerima kunjungan Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook bagi membincangkan projek-projek dalam mempertingkat mutu pengangkutan Johor di pejabat beliau semalam. | Sumber foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor dan Kementerian Pengangkutan bersepakat serta bersependapat Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) perlu terus diberi keutamaan.

 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut berkongsi mengenai kemajuan kedua-dua projek utama terbabit, selepas mendapat pemakluman daripada Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook, semalam.

 

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa kemajuan RTS kini mencapai 32.78 peratus dan dijangka siap pada penghujung 2026, dan Projek Berkembar Gemas-JB sudah mencapai 90.6 peratus, dan dijangka siap pada April 2026.

 

“Satu lagi projek penting untuk kesalinghubungan Negeri Johor iaitu Iskandar Rapid Transit (IRT) sudah mencapai kemajuan 24.14 peratus, dan dijangka siap pada penghujung 2025,” katanya di Facebook rasminya, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga amat menghargai usaha Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pengangkutan menyediakan perkhidmatan MyBAS Johor Bahru.

 

Ujarnya, perkhidmatan tersebut membolehkan Bangsa Johor mengguna 19 laluan merangkumi jarak 1,070 kilometer dengan hanya RM50 sahaja tanpa had untuk 30 hari.

 

“Justeru, kami akan melihat bagaimana cara untuk memastikan perkhidmatan MyBAS50 dan perkhidmatan percuma Bas Muafakat Johor di bawah Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) agar ia saling melengkapi antara satu sama lain, demi meningkatkan mutu kesalinghubungan negeri ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor