PAS PERJALANAN MYBAS50 BERMULA 1 APRIL INI


Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pas Tanpa Had MyBas50 dan Bas Elektrik Bagi Program MyBas Johor di Johor Bahru, semalam / Sumber Foto Facebook Anthony Loke Siew Fook.

 

ISKANDAR PUTERI — Rakyat Johor sekitar Johor Bahru kini menikmati perjalanan bas tanpa had sebulan dengan RM50 menerusi program myBAS50.

 

Program yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu, dirasmikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, semalam.

 

Siew Fook berkata, inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan warga kerja, pelajar dan orang awam yang menjadikan perkhidmatan bas henti-henti sebagai pengangkutan harian.

 

Menurutnya, pas perjalanan di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) itu boleh digunakan secara rasmi bermula 1 April ini, di kesemua 19 laluan MyBAS Johor Bahru.

 

“Saya tegaskan peningkatan ‘ridership’ dan ketepatan masa adalah KPI utama pengendali syarikat bas berhenti-henti menerima subsidi kerajaan (program) SBST.

 

“Turut ditekankan inisiatif data terbuka atau ‘Open Transit API’ selaras dengan cabaran zaman digital. ‘Open data’ akan membantu orang ramai mencapai masa ketibaan bas secara ‘live’ dan menggalakkan inovasi dalam ‘digital mobility’,” katanya.

 

Siew Fook berkata, rakyat negeri ini, dipelawa untuk mendaftar myBAS50 secara online dengan muat turun aplikasi Lugo atau melalui kaunter terpilih.

 

Antara kaunter tersebut adalah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru, KSL City Mall, TF Value-Mart Nusa Bestari, Terminall Bas Gelang Patah, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Terminal Bas Kulai.

 

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu kurang beban kos pengangkutan orang ramai di Johor Bahru,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Johor menjadi negeri pertama menikmati inisiatif Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM50 juta.

 

“Warganegara Malaysia dapat menikmati perkhidmatan bas ini tanpa had dengan kadar harga RM50 sahaja sebulan. Kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan bas hari-hari, ini merupakan penjimatan yang sangat memuaskan,” katanya.

 

Mengenai pelancaran bas elektrik bagi program MyBas Johor, beliau berkata, perkhidmatan itu merupakan yang pertama di Johor dan akan memberikan persekitaran kondusif kepada pengguna serta alam sekitar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor