‘SHUTTLE BUS’ PERCUMA KE HSA, HSI MEMUDAHKAN RAKYAT MENDAPATKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN
ISKANDAR PUTERI — Perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail menterjemahkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan dan kesihatan awam kepada pengguna.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif ‘shuttle bus’ percuma melibatkan peruntukan RM550,000 setahun itu disediakan untuk pesakit dan pengunjung ke HSA dan HSI dengan pelaksanaan pada setiap Ahad hingga Khamis seawal jam 6.30 pagi hingga 6 petang.
“Laluan ke HSA akan bermula pada hari ini 30 Oktober manakala laluan ke HSI akan bermula pada 1 November 2022. Kekerapan bas pula dijadualkan setiap 15 minit pada waktu pagi dan setengah jam pada waktu petang. Ini juga dapat membantu perancangan perjalanan bagi mereka yang perlu dapatkan rawatan.
“Paling penting dengan adanya dua laluan berasingan, setiap satu akan bermula di sebuah lokasi yang mempunyai ruang tempat letak kenderaan yang mencukupi, sekali gus menangani isu menunggu lama untuk mendapatkan ruang parkir di kedua-dua hospital tersebut,” katanya.
Onn Hafiz berharap usaha tersebut memberi manfaat kepada pesakit serta pengunjung yang perlu ke kedua-dua hospital berkenaan sama ada bagi mendapatkan rawatan atau menemani insan tersayang.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Abdul Malik Ismail atas pelaksanaan inisiatif itu.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor