SK TAMAN SURIA PERINTIS PROGRAM ‘KURU-KURU’


Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria dinobatkan sebagai juara keseluruhan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Oleh Suhana Mohd Ariffin

 

Memberikan nafas baharu kepada barangan terpakai sumbangan orang ramai, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria menjadi sekolah perintis bagi program ‘Kuru-Kuru’ sebagai salah satu inisiatif menerapkan pendidikan rendah karbon dalam kalangan murid.

 

‘Kuru-Kuru’ merupakan budaya masyarakat Jepun di mana barangan masih boleh diguna pakai yang disumbangkan, diberikan kepada pihak lain sekali gus membantu mengurangkan pembuangan sisa pepejal.

 

Guru Penyelaras Unit Kelestarian SK Taman Suria, Hasmiza Sabtu memberitahu ‘Kuru-Kuru Suria’ berkonsepkan guna semula barangan terpakai yang mendidik warga sekolah dan para ibu bapa untuk bersama mempraktikkan amalan kelestarian serta kitar semula dalam kehidupan.

 

Selain itu, SK Taman Suria turut berhasrat mewujudkan ‘kem rimba’ di dalam sekolah bagi pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran murid di luar bilik darjah seterusnya menjadi pelancongan berasaskan pendidikan (Edu-Tourism) pertama di negara ini.

 

SK Taman Suria dinobatkan sebagai juara keseluruhan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) Negeri Johor serta memenangi kategori Sekolah Terbaik IMELC dan kategori kutipan minyak masak terpakai terbanyak ketika Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK), baru-baru ini.

 

Antara kejayaan lain pernah diraih, Johan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Jabatan Alam Sekitar 2021/2022; Pingat Emas Pertandingan RCE Sustainable and Low Carbon School Exhibition 2023 serta Johan Kategori Organisasi Pertandingan KITARCycle, Jom Raya 2023.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor