SMI JOHOR LAKSANA PROGRAM KONSEP ‘TRAIN & PLACE’


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak RM5.2 juta diperuntukkan kepada Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor pada tahun lalu, bagi pelaksanaan Program Latihan Kemahiran (PRO-MAHIR).

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sebanyak 45 kursus telah dijalankan pada tahun lalu, dan seramai 1,304 orang menerima manfaat daripada program PRO-MAHIR.

 

“Unit SMI Johor telah menawarkan kursus-kursus kemahiran secara percuma berserta penempatan pekerjaan sejurus tamat kursus di dalam Program Upskilling dan Reskilling yang berkonsepkan ‘train and place’.

 

“Unit SMI Johor telah menaja kursus pelbagai bidang bagi menarik minat rakyat Johor serta golongan belia agar kadar pengangguran di negeri Johor dapat dikurangkan,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz mengenai usaha kerajaan negeri dalam memperkasa graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan program seperti ‘train and place’.

 

Mohd Hairi berkata, PERKESO turut melaksanakan Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantis TVET dan Lepasan Sekolah atau Kerjaya TVET yang menyediakan bayaran insentif sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh tiga bulan kepada majikan menggajikan graduan TVET.

 

“Bagi menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan, Kerjaya TVET akan memfokus kepada program ‘place and train’ yang membolehkan majikan menghantar belia, khususnya graduan TVET yang diambil bekerja untuk menjalani latihan berasaskan kompetensi oleh penyedia latihan yang diiktiraf kerajaan,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Unit SMI Johor mengambil maklum peranan TVET dalam melahirkan tenaga buruh yang kompeten bagi memajukan ekonomi di negeri ini.

 

“Antara inisiatif adalah melalui penganjuran program Karnival TVET yang bakal dijalankan pada Julai 2023. Objektif karnival adalah untuk memperkenalkan pembelajaran TVET kepada murid sekolah rendah dan sekolah menengah selain memberi kesedaran kepada golongan ibubapa tentang kelebihan dan peluang kerjaya yang luas dalam bidang TVET,” katanya.

 

Mohd Hairi juga berkata, Unit SMI Johor telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor dengan menghimpunkan agensi-agensi berkaitan pembangunan modal insan dan pemain industri.

 

Ujarnya, dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, sebuah strategi baharu dapat dirangka dalam membantu institut TVET melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi mengikut kepakaran berbeza sekali gus mengisi peluang pekerjaan hasil pelaburan yang diterima negeri Johor.

 

“Pemain-pemain utama TVET dan industri di Negeri Johor juga disarankan untuk memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Ini bertujuan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing agar dapat bersedia mengharungi cabaran baharu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir dan ketinggalan.

 

“Justeru, Johor memerlukan institusi TVET yang lebih fleksibel dan tenaga pengajar yang kompeten, malah infrastruktur itu sendiri perlu lengkap dan kukuh dalam mendepani cabaran ini. Kita percaya agenda pemerkasaan TVET bersama- sama dengan penggiat utama industri harus menjadi hala tuju strategik utama TVET,” katanya.

 

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor