PAJ SEDIA BANTU TINGKAT IMEJ TEKSI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan membantu menaikkan imej teksi di Johor dengan memperkenalkan pengiklanan di badan pengangkutan awam tersebut.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, selain mencantikkan imej kenderaan, inisiatif itu membuka peluang pemandu teksi menjana pendapatan dari sumber pengiklanan di badan teksi.

 

“PAJ sedang meneliti prosedur dan garis panduan agensi-agensi yang terlibat bagi pemasangan iklan di badan teksi seterusnya akan bekerjasama dengan persatuan teksi di seluruh negeri Johor bagi meluaskan inisiatif ini,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib mengenai inisiatif kerajaan untuk membantu persatuan teksi negeri Johor khususnya di DUN Maharani.

 

Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kesukaran dialami oleh persatuan dan pemandu teksi dalam menghadapi situasi ekonomi yang agak mencabar ketika ini.

 

“Selain daripada terpaksa bersaing dengan pemain industri pengangkutan awam yang lain, pemandu teksi sendiri agak terhimpit dengan kebolehpercayaan pengguna terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

 

“Kita sedia maklum, bandar Muar merupakan kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Kerajaan negeri berpendapat mutu dan imej pengangkutan awam seperti teksi dapat ditingkatkan dari aspek kecekapan, kebersihan dan kebolehpercayaan,” katanya.

 

Selain itu, ujarnya, persatuan teksi digalakkan menggunapakai sistem berkupon atau aplikasi e-hailing bagi memudahkan pengguna mendapatkan harga tetap dan mudah dicapai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor