9 LALUAN BAHARU BMJ TAHUN INI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan sebanyak sembilan laluan baharu Bas Muafakat Johor (BMJ) akan beroperasi tahun ini / Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak sembilan laluan baharu Bas Muafakat Johor (BMJ) akan beroperasi pada tahun ini, dengan dua daripadanya telah dilancarkan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, dua laluan tersebut adalah SR004 Renggam-Kluang dan MU005 Bandar Muar-Jorak.

 

Menurutnya, manakala tujuh laluan lagi masih dalam proses perolehan bagi memilih operator yang layak.

 

“Saya sangat menggalakkan orang ramai untuk menaiki perkhidmatan Bas Muafakat Johor yang telah disediakan kerajaan negeri secara percuma ini.

 

“Semoga dengan segala usaha ini dapat memberikan manfaat kepada orang ramai serta dapat memudahkan urusan ramai pihak,” kata beliau menerusi Facebook rasminya.

 

Mohamad Fazli berkata, BMJ merupakan perkhidmatan bas percuma dilaksanakan bermula tahun 2016 oleh Kerajaan Negeri Johor.

 

“BMJ ini diberikan secara percuma kepada seluruh warganegara Malaysia dan telah beroperasi di semua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor