SOLAT SUNAT ‘KUNCI’ KEJAYAAN RAIH 9A

Muhammad’ Ammar Rohaizad (tengah) meraih keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Menjadikan solat sunat sebagai amalan selain usaha penguasaan teknik pembelajaran menjadi resipi kejayaan buat Muhammad’ Ammar Rohaizad meraih keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024.

 

Calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru yang memperoleh 9A itu berkongsi bahawa doa ibu bapa juga menjadi kekuatan dan pembakar semangat untuk dirinya melakukan yang terbaik dalam peperiksaan berkenaan.

 

Menguasai teknik menjawab soalan ketika melakukan persediaan menghadapi SPM turut membantu dirinya untuk menjawab kertas peperiksaan dengan lebih berkesan sekali gus menitip pesanan kepada bakal calon agar tidak mengambil mudah penganjuran bengkel berkaitan.

 

Selain menzahirkan rasa syukur Muhammad’ Ammar berterima kasih dan menyanjung tinggi bimbingan daripada guru yang tidak pernah jemu menabur ilmu serta menganjurkan kelas tambahan, bengkel dan aktiviti akademik untuk dirinya.

 

Anak sulung daripada tiga beradik yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang teknologi dan digital itu turut menzahirkan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam jurusan sains komputer.

 

#SPM2024
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor