SPESIS BAHARU PERIUK KERA DINAMAKAN SEMPENA NAMA SULTAN JOHOR


Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman ketika ditemu bual, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

MUAR — Spesis baharu periuk kera ditemui di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara, di sini, secara rasmi dinamakan Nepenthes x sultan-ibrahimii sempena nama DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman berkata, nama baharu bagi periuk kera spesis ‘cross hibrid’ antara Nepenthes Mirabilis dan Nepenthes Rafflesiana itu telah mendapat perkenan daripada Baginda Tuanku Sultan.

 

Menurutnya, spesis tersebut telah dikenal pasti ketika pihaknya melakukan kajian awal dan bancian dengan bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada tahun 2021.

 

“Berdasarkan kepada imej atau warna periuk spesis ini, agak merah dan cantik. Jadi kita mencadangkan supaya diberi satu nama baharu sempena Johor.

 

“Saya telah membawa mengadap (spesis baharu) kepada DYMM Sultan Johor dan memohon perkenan atas cadangan sempena nama Baginda Tuanku Sultan.

 

“Alhamdulillah, Baginda Tuanku Sultan berkenan dengan nama tersebut. Maka, kita keluarkan (spesis baharu) dengan nama baharu iaitu Nepenthes x sultan-ibrahimii,” katanya ketika ditemui di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara, di sini.

 

Periuk kera nepenthes x sultan-ibrahimii. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Salim berkata, seperti kebiasaan, spesis baharu tumbuhan dikenal pasti akan diberikan nama sempena tempat, individu yang menemui atau mengikut cadangan.

 

“Apabila telah diberi nama secara rasmi dan sekiranya dijumpai di tempat lain akan menggunakan nama yang sama. Berdasarkan ini, penemuan awal di sini (iaitu) di (Hutan Taman Negeri) Ayer Hitam Utara dan di Negeri Johor.

 

“Hari ini, sempena Kembara Mahkota Johor 2023, kita mencadangkan supaya tempat ini dilawati dan nama spesis ini dinamakan secara rasmi,” katanya.

 

Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berangkat ke Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara sempena hari ketiga Kembara Mahkota Johor 2023.

 

Keberangkatan Tunku Ismail bersama rombongan seterusnya diberikan persembahan taklimat daripada pihak Jabatan Perhutanan Negeri Johor mengenai spesis periuk kera itu.

 

DYAM Tunku Mahkota Johor kemudiannya berkenan untuk menandatangani plak perkenan nama rasmi bagi tumbuhan berkenaan.

 

Nepenthes x sultan-ibrahimii merupakan tumbuhan karnivor gergasi di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara yang mempunyai saiz periuk sehingga 20 sentimeter panjang, dengan warna periuk merah tua selain tompok kehijauan berkrim.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor