SPR TUBUH 625 PP-KPR PANTAU KEMPEN PRU 15


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh meninjau proses penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) 15 / Foto Ihsan SPR.

 

ISKANDAR PUTERI — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan sebanyak 625 Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata ia bagi memastikan semua calon yang bertanding mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, semua calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan masing-masing.

“Ia termasuklah bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti, gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang di wakilinya,” katanya dalam kenyataan kepada media.

“Justeru bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman, menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, justeru SPR berharap aktiviti kempen sepanjang PRU 15 ini dapat dijalankan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Seramai 1,392 kertas penamaan calon dikemukakan kepada pihak SPR di seluruh negara oleh pelbagai parti politik dan individu yang akan bertanding pada PRU 15.

Di Johor, seramai 96 calon mengemukakan kertas penamaan untuk bertanding pada PRU kali ini bagi merebut 26 kerusi kawasan parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.

PRU di Johor kali ini juga unik kerana buat pertama kali pemilihan antara kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksanakan secara berasingan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah diadakan pada Mac lalu.

Sementara itu, dalam kenyataan media sama, Abdul Ghani turut menzahirkan penghargaan kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan masing-masing kerana menjalankan tanggungjawab sehingga proses penamaan calon berjalan lancar.

Katanya, penghargaan sama turut diberikan kepada semua agensi dan jabatan yang terbabit secara langsung atau tidak langsung sepanjang proses penamaan calon diadakan semalam.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor