BELIA PENGGERAK EKONOMI, PENENTU MASA DEPAN – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah meninjau produk jualan usahawan | Sumber Facebook Mohd Hairi Mad Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sentiasa mengiktiraf golongan belia di negeri ini, sebagai penggerak ekonomi serta penentu masa depan Johor dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, golongan yang mempunyai bilangan hampir separuh populasi di negeri ini, merupakan kumpulan disifatkan penting.

“Elemen pembangunan keusahawanan dalam kalangan belia perlu dirancakkan kerana generasi belia yang merupakan sumber terbesar dalam negara.

“Harus diingat bahawa mereka juga mampu menyumbang kepada pendapatan negara. Kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh dalam mencorak dan menentukan kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Belia Niaga dan Orang Muda Johor 2022, Jumaat lalu.

Mengulas mengenai program, Mohd Hairi berkata, penganjuran Karnival Belia Niaga dan Orang Muda Johor 2022 bermula Jumaat lalu hingga hari ini, membuka peluang serta pasaran baharu kepada usahawan Johor memasarkan produk ke peringkat lebih tinggi.

“Saya menitipkan harapan agar golongan belia dapat menceburi bidang keusahawanan ini bukan semata-mata kerana tiada pekerjaan malahan menjadikan ia sebagai satu kerjaya.

“Jadikan karnival ini sebagai satu platform peluang perniagaan dan pertukaran pendapat dalam kalangan usahawan serta perkongsian ilmu bagi meningkatkan kapasiti dan kualiti produk yang ingin dihasilkan,” katanya.

Dalam ucapan sama, Mohd Hairi turut mengingatkan peri penting mewujudkan keselarian antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan pembangunan di negeri ini.

“Peranan anda semua (belia) nanti pada 19 November sebagai pengundi dan sebagai kumpulan baharu yang terlibat dalam proses demokrasi memilih kerajaan untuk mentadbir negara. Justeru saya mengingatkan untuk membuat pilihan yang tepat,” katanya

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor