SUKARELAWAN JANGAN HARAPKAN GANJARAN


Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 di Zoo Johor, baru-baru ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Aktiviti kesukarelawanan bukan sekadar satu bentuk sumbangan tenaga kepada komuniti, tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembangunan diri individu dan masyarakat, termasuk menjadi penggerak kepada pelbagai inisiatif sama ada daripada Kerajaan Persekutuan mahu pun Kerajaan Negeri.

 

Bagi Mohd Said Iskandar Kamal Adni, Pengerusi Kelab Belia Progresif Aman Larkin (KBPAL) memberitahu, beliau percaya antara kepentingan utama aktiviti kesukarelawan adalah meningkatkan keprihatinan sosial tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan atau ganjaran.

 

Malah, menerusi aktiviti kesukarelawan, ia berupaya melatih sifat empati, keprihatinan dan kesediaan dalam apa jua situasi dan cabaran untuk berbakti kepada masyarakat yang memerlukan, di samping membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap isu-isu sosial dan hal ehwal semasa.

 

Sementara itu, Mohd Ramdan Rokman, Timbalan Pengerusi Riadah Anak Johor (RAJ), menggesa lebih ramai golongan belia di Negeri Johor untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan kerana penyertaan aktif golongan muda sangat penting dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.

 

Inisiatif Kerajaan Johor seperti Southern Volunteers (SV) telah membuka ruang dan peluang untuk golongan belia di Negeri Johor menjalani latihan, membangunkan kemahiran serta berkhidmat dalam pelbagai bidang sosial dan kemanusiaan, sekali gus memperkukuhkan nilai-nilai kesukarelawan.

 

Terdahulu, lebih 300 sukarelawan di Negeri Johor diraikan dan diberikan pengiktirafan dalam Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 yang berlangsung dengan penuh meriah di Zoo Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor