PENDIDIKAN AGAMA BENTENG HALANG EKSTREMIS


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Bagi mengekang fahaman ekstremisme di negeri ini, pendidikan awal sekolah agama amat signifikan kepada seluruh Bangsa Johor beragama Islam terutama golongan kanak-kanak dan remaja kerana ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Al-Asyai’rah dan Al-Maturidiah yang diamalkan menerapkan nilai-nilai keharmonian dan sederhana atau wasatiyyah.

 

Manakala, di peringkat golongan dewasa pula, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mahupun Pejabat-Pejabat Kadi di seluruh negeri ini akan memperhebatkan kempen kesedaran supaya lebih ramai masyarakat Islam dapat kembali menelaah dan mengingati semula pengajian terdahulu selain mempelbagaikan pendekatan kelas agama sedia ada di masjid mahupun surau.

 

Pada masa sama, pemerkasaan pendekatan bagi memberikan penerangan dengan menggunakan kaedah bual bicara sama ada secara langsung atau penyediaan klip video pendek dan ringkas memaparkan penjelasan yang mudah difahami dalam aplikasi TikTok juga akan diperbanyakkan untuk disebarluaskan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

 

Sementara itu, sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada JAINJ dan Jabatan Mufti Johor sentiasa memantau kewujudan ajaran sesat menerusi aduan awam diterima di mana semakan dan kaedah penyamaran digunapakai seterusnya maklum balas siasatan akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan Bahagian Penyelidikan JAINJ sebelum diputuskan sama ada sesat atau sebaliknya.

 

Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin malah menasihatkan orang ramai supaya tidak berasa bimbang, sebaliknya terus menyalurkan aduan atau sebarang kemusykilan terhadap sesuatu ajaran atau pengajian berpotensi untuk disiasat yang telah disebarkan di kawasan masing-masing kepada JAINJ atau Pejabat Kadi terdekat bagi tindakan susulan.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor ketika diminta mengulas mengenai tindakan Kerajaan Johor mengekang fahaman ekstremisme dan pemantauan ajaran sesat selepas Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam.

 

Terdahulu, susulan insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, baru-baru ini, Kerajaan Negeri menzahirkan pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ekstrem selain berdiri teguh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan dalam usaha memerangi ekstremisme.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor