TANGGUH SEMENTARA AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH – EXCO PENDIDIKAN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah Noh, berkata arahan menangguhkan sementara semua aktiviti luar bilik darjah sudah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) pada Jumaat lalu. | Foto Ihsan: FB Norliza Noh

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor mengarahkan pihak sekolah menangguhkan sementara semua aktiviti luar bilik darjah berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah Noh, berkata arahan tersebut sudah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) pada Jumaat lalu.

 

“Di Johor, saya sudah memaklumkan kepada JPNJ supaya semua program luar membabitkan kegiatan sukan seperti merentas desa dan sebagainya ditangguhkan sementara bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini berlaku.

 

“Kita tidak mahu ambil apa-apa risiko dengan keadaan cuaca panas ketika ini dan Kerajaan Negeri memandang serius kerana mahu mengelakkan daripada kes (strok haba) berlaku di Johor,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana 2023 di Dewan Felda Lok Heng Barat.

 

Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata, pihak sekolah bagaimanapun perlu memaklumkan kepada JPNJ terlebih dahulu sekiranya ingin meneruskan aktiviti luar yang telah lama dirancang.

 

“Setakat ini, tiada sekolah (di Johor) yang ingin meneruskan aktiviti luar tetapi jika ada, mereka perlu maklum kepada JPNJ terlebih dahulu.

 

“Kita juga akan menilai dahulu sama ada ia (aktiviti luar) sesuai atau tidak untuk dilaksanakan berdasarkan keadaan cuaca semasa di sesuatu tempat itu,” tambahnya.

 

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) diminta menangguhkan sementara kegiatan luar.

 

Ia termasuk kawad, merentas desa, sebarang jenis sukan dan perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah berikutan cuaca panas dan kering berpanjangan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor