TANGKAK KE ARAH BANDAR PINTAR DAN MAMPAN


Majlis Daerah Tangkak turut menyerahkan pelan tindakan bandar pintar kepada Kerajaan Negeri pada Johor Smart City Day (JSCD) 2024. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Dalam usaha menyahut aspirasi Kerajaan Johor menjadikan negeri ini sebagai peneraju transformasi bandar pintar, Majlis Daerah Tangkak (MDT) mengambil langkah awal memperkenalkan Pelan Tindakan Bandar Pintar Tangkak 2030 yang komprehensif dan menyeluruh.

 

Meskipun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan PBT berstatus daerah boleh menyediakan pelan tindakan bandar pintar bermula tahun 2030, namun MDT berjaya menyiapkan kerangka inisiatif tersebut sekali gus bersedia mencapai status ‘early adopter’ bandar pintar.

 

Menerusi pelan tindakan tersebut, MDT akan melaksanakan penggunaan lampu isyarat pintar milik PBT berkenaan yang sedang dibangunkan dan dijangka beroperasi pada awal tahun 2025 seterusnya menjadi pemangkin bagi mengekalkan Tangkak sebagai Bandar Paling Mampan Peringkat Kebangsaan.

 

Pusat kawalan operasi bersepadu, Smart Ledang Command Centre (SLCC) yang menjadi sebahagian elemen bandar pintar juga akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan bandar menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

 

Selain itu, MDT juga komited memperkasa hal ehwal pengurusan aset, perancangan, pengawalan dan pelaburan daerah Tangkak menerusi pembangunan sistem ‘Smart Dashboard’ serta penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi merangka dasar serta membuat keputusan.

 

Majlis Daerah Tangkak menjadi antara enam Pihak Berkuasa Tempatan yang menyerahkan pelan tindakan bandar pintar masing-masing kepada Kerajaan Negeri pada Johor Smart City Day (JSCD) 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor