TECH MEDINI MAMPU BANTU IIB CAPAI PELABURAN RM9 BILION


Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB) hadir pada pelancaran Tech Medini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Iskandar Investment Berhad (IIB) terus mengorak langkah dalam menjadikan kawasan Medini sebagai destinasi utama pilihan pelabur menerusi inisiatif terbaharu Tech Medini bagi membantu syarikat permulaan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan seterusnya memperkukuh usaha ‘Net-Zero Carbon Central Business District (CBD)’.

 

Pelancaran inisiatif tersebut dilihat berupaya mengekalkan kedudukan IIB sebagai perintis kepada penubuhan pusat bandar Sifar Karbon Bersih pertama di rantau ASEAN dan mampu mencapai jumlah pelaburan sasaran bernilai RM9 bilion menjelang tahun 2030, sekali gus mengukuhkan kawasan berkenaan sebagai hab digital dan inovasi di Negeri Johor.

 

Dibangunkan di atas kawasan berkeluasan 160 ekar, Tech Medini juga akan menjadi hab bagi sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berpotensi mewujudkan industri baharu berteraskan revolusi industri 4.0. Ia Juga secara tidak langsung mampu mewujudkan 65,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pada masa sama membantu usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan aspirasi Johor menjadi negeri maju kelak.

 

Berkongsi keyakinan tersebut, Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB turut mempelawa syarikat berteknologi tinggi dari pelbagai bidang seperti robotik, keselamatan siber dan biokejuruteraan untuk memanfaatkan segala sumber sokongan yang disediakan oleh IIB, sekali gus merebut peluang ekonomi yang terdapat dalam Medini Iskandar Malaysia.

 

Malah, penubuhan Tech Medini juga disifatkan oleh IIB sebagai tepat pada masanya kerana selain daripada usaha merangka strategi baharu, ia juga turut menyediakan peluang pelaburan menarik kepada pemain industri menjelang pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka dimeterai tidak lama lagi.

 

Turut hadir pada pelancaran Tech Medini adalah YBhg Marhani Md Jelani, Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Negeri Johor; YBrs. Ng Kuan Khai, Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru dan YBhg Roslina Arbak, Pengarah Iskandar Investment Berhad.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor