TERIMA KASIH JDT UNTUK PENGALAMAN BERHARGA


Ketua Jurulatih Malaysian University Football Team (MUFT), Ridzuan Abu Shah di sidang media selepas perlawanan peringkat suku akhir Piala FA 2024/25. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Cabaran Malaysian University Football Team (MUFT) dalam saingan Piala FA 2024/25 berakhir dengan penuh bermakna meskipun tewas agregat besar kepada penyandang juara, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir.

 

Wakil tunggal Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/2025 tumpas 5-0 pada suku akhir pertama minggu lalu dan 8-0 suku akhir kedua semalam kepada skuad Harimau Selatan dalam aksi berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

 

Walaupun berhadapan dengan JDT yang jauh berpengalaman dalam pentas domestik dan antarabangsa, Ketua Jurulatih MUFT, Ridzuan Abu Shah memuji persembahan barisan pemain muda yang diturunkan kerana memberikan tentangan kepada tuan rumah.

 

Malah menentang skuad bimbingan Hector Bidoglio yang memiliki pemain berkualiti dan ‘track record’ cemerlang selain beraksi di gelanggang lawan telah memberikan pengalaman cukup berharga kepada pasukan kendaliannya dalam kedua-dua perlawanan.

 

Skuad MUFT turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan JDT atas kebenaran menggunakan SSI secara percuma untuk venue sebagai tuan rumah bagi aksi suku akhir pertama serta membantu dari segi tenaga kerja dan kos keselamatan.

 

Meraih pengalaman berguna daripada JDT, MUFT bersedia bangkit meneruskan perjuangan dalam kempen Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/2025 dan melahirkan ramai pemain berkualiti dari universiti tempatan seluruh negara.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor