TERUJA SAMBUT KEBERANGKATAN PULANG SULTAN IBRAHIM
Memori pernah bersalaman dengan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mendorong Mustapha Ahad, 64, turut serta menantikan keberangkatan pulang Baginda Tuanku Sultan di Skudai Parade, hari ini.
Selain berasa bangga, warga emas dari Bandar Selesa Jaya itu menyifatkan Sultan Ibrahim seorang Sultan berjiwa rakyat dalam pertemuan yang pernah berlaku dalam satu majlis disertainya.
“Sebagai anak kelahiran Johor, corak kepimpinan Baginda sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Ia dapat dilihat melalui keprihatinan Tuanku dalam membantu rakyat yang susah di negeri ini,” kata beliau yang tiba di lokasi seawal jam 7 pagi.
Justeru, Mustapha berharap semoga Malaysia sebagai negara berbilang kaum akan terus bertambah sejahtera dan makmur di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, G. Viveghan turut berkongsi keterujaan meraikan keberangkatan pulang dan melihat Baginda Tuanku Sultan secara langsung bersama ribuan rakyat yang lain.
Penuntut universiti awam berasal dari Perak itu memberitahu sudah berada di lokasi ‘check point’ laluan konvoi DiRaja sejak jam 8 pagi sekali gus enggan melepaskan detik indah berkenaan.
“Melihat pada pembangunan Negeri Johor yang berkembang pesat juga, saya percaya pemerintahan Tuanku apabila menjadi Yang di-Pertuan Agong nanti akan memberikan impak besar terhadap Malaysia,” ujar beliau.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor