TIADA KOMPROMI TERHADAP PEMBULI – EXCO PENDIDIKAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata kaunselor sekolah perlu memainkan peranan dalam memberikan kaunseling dan bantuan psikologi yang diperlukan oleh pelajar. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan buli, pukul atau dera kerana perbuatan ganas tidak berperikemanusiaan itu tidak mempunyai tempat di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh, berkata justeru individu yang terlibat harus diberi pengajaran dan peringatan tegas supaya kejadian sebagaimana yang tular baru-baru ini tidak akan berulang pada masa depan.

 

“Seperti yang saya katakan kepada ahli keluarga, pihak sekolah serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bahawa ini merupakan cabaran kepada kita (dalam menangani kes buli dan dera).

 

“Saya selaku EXCO Pendidikan di negeri ini tidak akan berkompromi kepada mereka… si pembuli ini,” katanya kepada Media Digital Johor selepas menziarahi kediaman pelajar yang menjadi mangsa dalam kejadian pukul di Johor Bahru, baru-baru ini.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail.

 

Norlizah berkata, bagi menangani gejala sosial tidak sihat itu, kaunselor sekolah perlu memainkan peranan dalam memberikan kaunseling dan bantuan psikologi yang diperlukan oleh pelajar, selain peranan ibu bapa memberi perhatian terhadap anak-anak dirumah.

 

“Pelajar ini harus diberi perhatian dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memainkan peranan yang sangat penting (mendidik),” katanya.

 

Sementara itu, bapa mangsa, Azizan Ahmad, 44, berkata, beliau berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi selain berharap individu yang terlibat akan menerima hukuman yang setimpal.

 

“Berkaitan kes ini biarkan pihak berkuasa melakukan siasatan dan tindakan. Kami juga tidak akan masuk campur sepanjang proses siasatan ini dilaksanakan.

 

“Saya pun berharap pelaku tersebut akan mendapat hukuman yang setimpal dan pada masa sama turut menjadi pengajaran kepada murid yang lain,” katanya.

 

Beliau bersama isteri turut menzahirkkan rasa terima kasih kepada YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas keprihatinan yang ditunjukan kepada anaknya dan juga mangsa buli dan dera yang lain.

 

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian seorang pelajar dipukul oleh sekumpulan pelajar yang lain di sebuah taman permainan di Taman Bestari Indah, dekat sini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor