HOSPITAL PONTIAN BAKAL BERWAJAH BAHARU


Hospital Pontian yang sudah beroperasi sejak 1930 bakal dinaik taraf. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

PONTIAN — Penduduk di sekitar daerah ini bakal menerima kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih efisyen apabila Hospital Pontian akan dinaik taraf dalam tempoh terdekat.

 

Ia susulan daripada peruntukan sebanyak RM150 juta yang disediakan oleh kerajaan bagi merealisasi impian penduduk tempatan untuk melihat hospital yang sudah beroperasi sejak 1930 itu memiliki fasiliti yang lebih baik.

 

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerja menaik taraf hospital berkenaan disifatkan satu berita baik yang sememangnya dinantikan oleh warga tempatan.

 

“Saya di Kementerian Kewangan akan memastikan ianya (kerja naik taraf Hospital Pontian) akan dilaksanakan secepat mungkin dan kita dari segi perbincangan bersama Bahagian Belanjawan memang kosnya (yang diperlukan) adalah RM150 juta.

 

“Nilai RM1 juta satu katil itu adalah formula (yang digunakan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kalau 150 katil (bersamaan) RM150 juta.

 

“Kemudian ada dua blok baharu empat tingkat sebagai tambahan kepada apa yang sedia ada (bagi menambahkan lagi fasiliti di hospital berkenaan),” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini, hari ini.

 

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, hospital berkenaan juga bakal berwajah baharu sebaik sahaja kerja menaik taraf fasiliti kesihatan tersebut siap kelak.

 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad turut memberitahu beberapa kemudahan asas lain turut dinaik taraf demi kepentingan dan manfaat penduduk di Pontian.

 

“Terdapat beberapa projek menaik taraf bakal dilaksanakan antaranya Pasar Borong Pontian dengan anggaran RM5 hingga RM6 juta.

 

“Kemudian, Jambatan Pontian Kechil kini sedang dalam proses penambahan daripada dua lorong kepada empat lorong dengan perbelanjaan sebanyak RM23 juta,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor