MENTERI BESAR JOHOR SERAH KEBIJAKSANAAN AHLI PARLIMEN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyerahkan kepada kebijaksanaan Ahli-Ahli Parlimen dari Johor mengenai pembentukan kaukus melibatkan 24 ahli parlimen BN dan PH.

Menurut beliau, ia merupakan tanggungjawab ahli-ahli parlimen untuk membawa suara hati Bangsa Johor ke Dewan Rakyat dan Kerajaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan ikhtiar bagi menjayakan inisiatif-inisiatif dan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan yang boleh mensejahterakan Bangsa Johor,” katanya dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Sebelum ini, ADUN Perling, Liew Chin Tong dan ADUN Benut, Dato’ Ir. Hasni Mohamad mencadangkan penubuhan kaukus membabitkan 24 ahli parlimen BN dan PH Johor.

Dalam ucapan tersebut, Onn Hafiz memohon dan merayu kepada semua ahli-ahli parlimen dari Johor untuk terus memperjuangkan projek-projek keutamaan rakyat melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Antaranya, pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng Utara hingga Senai Utara; pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru Expressway; pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru; projek bekalan air negeri; rancangan tebatan banjir.

Selain itu, sekolah rendah dan menengah yang perlu dinaiktaraf; kualiti pendidikan negeri dan negara; insnetif pelabur terus melabur di Johor; perluasan kadar penembusan jalur lebar serta mengembalikan projek HSR dan meneruskan projek RTS.

Terdahulu, di awal ucapannya, beliau mewakili kerajaan negeri turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli parlimen Johor yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri Kerajaan Persekutuan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor