TINGGAL SIMPANG RENGGAM, KERJA DI JOHOR BAHRU


Gambar hiasan.

 

Perkhidmatan KTM Komuter diperkenalkan pada tahun 1995 dan dioperasikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menjadi mod pengangkutan utama menghubungkan antara bandar yang popular bagi penduduk Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

 

Malah perkhidmatan yang memudahkan pergerakan harian manusia itu telah diperkenalkan ke sektor Utara apabila diperluaskan ke negeri-negeri di Utara Semenanjung Malaysia pada tahun 2015 selepas siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar.

 

Kini, KTMB juga sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter bagi sektor Selatan selaras dengan kemajuan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru (PLBEGJB) yang sekali gus mencetuskan dinamika dan integrasi sistem pengangkutan awam di negeri ini.

 

Bakal beroperasi sepenuhnya pada April tahun hadapan, PLBEGJB bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), tetapi turut memupuk budaya penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan Bangsa Johor termasuklah dengan kepelbagaian mod yang disediakan.

 

Bagi Dr. Safizahanin Mokhtar, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sistem pengangkutan seperti perkhidmatan KTM Komuter dijangka membawa limpahan manfaat dan ekonomi kepada rakyat serta negeri terutama mereka di luar bandar raya Johor Bahru.

 

Dengan tempoh perjalanan kira-kira satu jam perjalanan dari Simpang Renggam ke Johor Bahru menggunakan lebuh raya, tidak mustahil penduduk Simpang Renggam boleh berulang alik ke Johor Bahru atau bekerja di Singapura menggunakan perkhidmatan KTM Komuter pada masa akan datang.

 

Perkembangan tersebut seterusnya akan menjadikan perkhidmatan KTM Komuter sebagai mod pengangkutan pilihan Bangsa Johor yang secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta kesesakan trafik di jalan raya utama di negeri ini.

 

Selain itu, keutamaan Kerajaan Negeri membina lebih banyak Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) terutama di luar Johor Bahru juga akan memberikan opsyen kepada rakyat untuk menetap di daerah lain, namun masih boleh mencari rezeki di bandar raya menerusi jaringan pengangkutan yang kondusif dan moden.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor