MPP BAKAL MILIKI PEJABAT BAHARU


Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk mencemar duli berangkat ke Majlis Pecah Tanah Pejabat Urusan Majlis Perbandaran Pengerang di Bandar Penawar. | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) bakal memiliki bangunan pejabat urusan baharu yang mencerminkan iltizam tinggi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan dalam merakyatkan sistem penyampaian kerajaan demi menyediakan perkhidmatan terbaik bagi kawasan pentadbirannya.

 

Pembinaan pejabat baharu itu disifatkan sebagai tepat pada masanya selari dengan kepesatan pembangunan Pengerang dan kawasan sekitar yang tertumpu kepada sektor pelancongan bertaraf antarabangsa serta industri minyak dan gas, jelas YBhg. Zihan Ismail, Yang Dipertua MPP.

 

Dinaik taraf sebagai perbandaran pada tahun 2020, MPP kekal komited dalam memberikan perkhidmatan yang responsif kepada rakyat dan pihak industri sekali gus berusaha memacu serta merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Pengerang.

 

Sebagai menyokong kepada pelaksanaan inisiatif ‘Fast Lane’ di Negeri Johor, PBT berkenaan juga tidak terkecuali malah terus mengambil pendekatan signifikan dengan mengurangkan birokrasi dalam tadbir urus selain menarik lebih banyak pelaburan di kawasan pentadbirannya.

 

Dibina di tengah Bandar Penawar, pejabat baharu setinggi lapan tingkat itu menampilkan konsep reka bentuk perahu layar jong yang menjadi simbol permainan tempatan serta lambang kemajuan pembangunan kawasan pentadbiran MPP.

 

Selain itu, bangunan tersebut juga akan dilengkapi dengan fasilti ‘control room’ yang lebih luas dan selesa bagi mengawal selia pengoperasian bandar pintar, kemudahan dewan di samping dataran untuk penganjuran acara dan aktiviti rekreasi.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk mencemar duli berangkat ke Majlis Pecah Tanah Pejabat Urusan Majlis Perbandaran Pengerang di Bandar Penawar, hari ini.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor serta YB Dato’ Dr. Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor