KUMPULAN TERAKHIR ROMBONGAN KERAJAAN JOHOR BERLEPAS


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir Majlis Meraikan Jemaah Haji RKJ Tahun 1445H / 2024M di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kumpulan terakhir yang terdiri daripada 137 jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) untuk berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji musim 1445H / 2024M, petang tadi.

 

Untuk musim haji kali ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.7 juta bagi meringankan beban menerusi pembiayaan perbelanjaan tambang kepada keseluruhan 500 Duyufurrahman RKJ yang diketuai YBhg. Jamaludin A. Hamid, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan dibantu dua pembimbing atau mutawif.

 

Selain mengucapkan selamat berangkat kepada semua ‘Tetamu-Tetamu Allah’, Kerajaan Negeri turut menitipkan doa kepada para jemaah haji RKJ supaya dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa berada dalam keadaan selamat sepanjang berada di sana, seterusnya memperoleh haji yang mabrur.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir Majlis Meraikan Jemaah Haji RKJ Tahun 1445H / 2024M di Balai Perlepasan LTAS, hari ini. Turut hadir, YB Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor serta YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor