TUNKU PUTERA JOHOR UNGGULI PERLUMBAAN PERTAMA GT WORLD CHALLENGE ASIA


Tunku Abu Bakar yang bergandingan bersama pakar lumba endurance Jerman Luca Stolz, cemerlang menamatkan saingan di kedudukan podium itu dengan catatan 1 jam 50.992 saat (s). | Foto Ihsan Johor Motorsport Racing

 

ISKANDAR PUTERI — Tunku Putera Johor, YAM Tunku Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim melakar sejarah apabila berjaya menjuarai perlumbaan pertama kejuaraan GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Buriram di Thailand.

 

Tunku Abu Bakar yang berlumba bersama pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) turut melakar sejarah apabila berjaya menduduki tempat pertama dalam sesi kelayakan pada Sabtu.

 

Cuaca hujan yang membasahi trek tidak menjejaskan pemanduan Tunku Abu Bakar yang menggunakan jentera Mercedes-AMG yang turun selaku penyandang juara musim lalu.

 

Tunku Abu Bakar memberi pujian kepada barisan pegawai teknikal pasukan dan juga rakan sepasukannya yang juga pakar perlumbaan endurance, Luca Stolz.

 

”Berada di petak utama pada pusingan kelayakan adalah pencapaian terbaik saya setakat ini. Saya juga sangat gembira dapat meraih kemenangan yang pertama.

 

”Keadaan di litar sangat mencabar tetapi saya, Luca dan seluruh jentera pasukan telah melakukan tugas dengan baik,” katanya.

 

Sementara itu, Tunku Abu Bakar dan Luca Stolz mengakhiri perlumbaan kedua di tempat ke-12 manakala Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Ibni Sultan Ibrahim yang berpasangan bersama Broc Feeney meraih tempat ketujuh.

”Sayang sekali, kita terlepas untuk mengutip mata pada perlumbaan kedua, tetapi kami masih gembira dengan persembahan minggu ini dan tidak sabar untuk beraksi pada perlumbaan seterusnya di Fuji,” tambahnya.

 

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh Tunku Abu Bakar.

 

”Saya sangat berbangga dengan pencapaian Tunku Abu Bakar dan Luca Stolz. Saya telah melatih adik saya untuk menjadi seorang pelumba dan dengan kejayaannya semalam (Sabtu), ianya sangat-sangat membanggakan.

 

”Perlumbaan hari ini memang sukar buat semua, tetapi kita perlu perbaiki dan bersedia untuk perlumbaan seterusnya di Fuji.” katanya.

 

Kejuaraan GT World Challenge Asia yang berlangsung sebanyak enam pusingan akan bersambung dengan perlumbaan pusingan kedua di Fuji, Jepun pada 17 dan 18 Jun depan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor