PPUNJ 2022-2026 PACU VISI LAHIR USAHAWAN PMKS BERKUALITI


 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah usaha merealisasikan visi itu melalui perkhidmatan dan bantuan yang efisien selaras dengan kemajuan negara dan seiring misi menjadikan Johor negeri maju pada tahun 2030. | Sumber foto: Facebook Hairi Mohd Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelan Pemerkasaan Usahawan Negeri Johor (PPUNJ) 2022-2026 diwujudkan dengan mengambil kira visi utama Kerajaan Johor dalam melahir dan membentuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berdaya maju, berkualiti dan produktif dalam pelbagai sektor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, usaha merealisasikan visi itu melalui perkhidmatan dan bantuan yang efisien selaras dengan kemajuan negara dan seiring misi menjadikan Johor negeri maju pada tahun 2030.

 

“Pelan ini juga dijadikan penanda aras bagi usahawan dan agensi dalam merangka serta menambahbaik program dan segala bentuk insentif agar manfaat dirasai segenap pelbagai usahawan dan harus dijadikan sebagai rujukan utama kepada para usahawan sama ada yang baru mahupun sedia ada bagi mendapatkan maklumat serta peluang-peluang yang diberikan oleh agensi-agensi Negeri dan Persekutuan,” katanya.

 

Terdahulu, beliau telah melancarkan PPUNJ 2022-2026 bersempena Hari Bertemu Pelanggan Bersama Ahli Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) di Pejabat Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), baru-baru ini.

 

Turut hadir, Pengarah Eksekutif PUJB, Mohd Radzi Mohd Amin serta Pengurus Besar PUJB, Mohamad Radif Kosnin.

 

Mohd Hairi berkata, usaha ke arah mewujudkan pelan itu sudah bermula sejak Jun 2022 menerusi pelaksanaan bengkel di PUJB melibatkan lima akses iaitu Pembiayaan; ICT, Teknologi, Pensijilan dan Perundangan; Prasarana; Kemahiran serta Pemasaran.

 

Ujarnya, beliau yakin dan berharap pelan itu juga dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan PMKS selain menggariskan hala tuju yang jelas serta berfokus dalam pembangunan usahawan di negeri Johor.

 

“Ini khususnya dari segi industri dan sub-industri dan mengikut daerah dengan sumber diperolehi melalui Jabatan dan Agensi Kerajaan dan merupakan kesinambungan Pelan Tindakan Strategik PKS Johor 2015-2020 yang bersandarkan kepada SME Masterplan 2012-2020 yang telah digunapakai oleh SME Corp Malaysia dalam memangkin pertumbuhan dan pendapatan.

 

“InsyaAllah, pelan ini boleh didapatkan kelak selepas makluman rasmi oleh PUJB menerusi padu.pujb.my,” katanya.

 

Mohd Hairi merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada agensi di bawah MPUNJ yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memberikan input terhadap kewujudan pelan itu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor