USAHA MENGURANGKAN PEMBUANGAN SISA PLASTIK: UTHM DAN SWM SASAR 1,500 BOTOL ECOBRICK MELALUI PERTANDINGAN JESAWIL 2023


Pengarah JESAWIL 2023, Ts. Dr. Roslinda Ali, berkata ‘Ecobrick’ merupakan sebuah botol plastik yang diisi dengan sisa pepejal yang tidak terurai seperti plastik, tanah dan sisa pepejal lain yang akan ditimbang oleh SWM Environment Sdn. Bhd. di akhir pertandingan. | FOTO IHSAN: SWM Environment Sdn. Bhd

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. menyasarkan sebanyak penghasilan 1,500 botol Ecobrick melalui Pertandingan Jelajah Sekolah Angkatan Wira Lestari (JESAWIL) 2023 sebagai usaha mengurangkan jumlah pembuangan sisa plastik ke tapak pelupusan.

 

Menurut Pengarah JESAWIL 2023, Ts. Dr. Roslinda Ali, berkata ‘Ecobrick’ merupakan sebuah botol plastik yang diisi dengan sisa pepejal yang tidak terurai seperti plastik, tanah dan sisa pepejal lain yang akan ditimbang oleh SWM Environment Sdn. Bhd. di akhir pertandingan.

 

“Tujuan pertandingan Ecobrick diadakan adalah untuk mendidik dan memberi pendedahan mengenai amalan pengasingan sisa di punca kepada masyarakat terutamanya pelajar sejak diperingkat awal lagi melalui amalan pengasingan sisa serta konsep 3R (Kurangkan, Guna Semula & Kitar Semula) dalam kehidupan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan media kepada Media Digital Johor.

 

Sebanyak 30 buah sekolah rendah di daerah Muar dan Tangkak yang melibatkan 9,000 pelajar telah menyertai pertandingan ini dan kutipan serta timbangan akan dilakukan bagi menentukan pemenang.

 

Roslinda berkata, institusi pendidikan merupakan medium utama dalam mencorakkan pembelajaran dan pengajaran tentang pengurusan sisa pepejal yang efektif memandangkan golongan ini merupakan pelapis dan bakal menguruskan negara di masa hadapan.

 

“Apabila mereka telah terbiasa dengan budaya baharu ini, sudah pasti mereka akan berjaya mempengaruhi keluarga dan sanak-saudara untuk bersama mengamalkan amalan ini.

 

“Mereka juga dapat mengambil kira aspek ini (budaya Ecobrick) dalam mengurus tadbir negara di masa hadapan dan menjadikan amalan pengasingan sisa pepejal ini sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka,” katanya lagi.

 

Beliau berkata, pihaknya berharap menerusi penganjuran program ini memberi impak positif kepada murid dan masyarakat selain dapat menerapkan nilai kesedaran tentang pengurusan sisa yang efektif selain menjana pendapatan dari sisa terhasil.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor