UTHM TERUS DEKATI MASYARAKAT MENERUSI PROGRAM CSR DI BATU PAHAT


Program bersempena ulang tahun ke-30 universiti awam itu menyaksikan UTHM membantu membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan. | Foto ihsan UTHM

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi tampil meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Kampung Kangkar Senangar, Parit Sulong dekat Batu Pahat.

 

Program bersempena ulang tahun ke-30 universiti awam itu menyaksikan UTHM membantu membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan.

 

Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Dr. Mimi Suliza Muhamad, berkata bekalan air menerusi telaga tiub tersebut telah ditambah baik dengan memperkenalkan sistem penapisan air bagi membantu komuniti setempat menikmati air bawah tanah yang bersih.

 

“Air yang dipam dari bawah tanah akan melalui proses pengoksidaan terlebih dahulu untuk mengurangkan bau pada air.

 

“Selepas itu, air tersebut akan ditapis menggunakan sistem penapisan yang terdiri daripada beberapa lapisan pasir dan batu sungai berserta penjerat makrokomposit yang diperbuat daripada sisik ikan tilapia yang boleh menyerap bahan-bahan tercemar di dalam air,” katanya.

 

Program CSR itu juga menyaksikan Yayasan UTHM turut memberi sumbangan ‘water jet’ kepada penduduk Kampung Kangkar Senangar untuk digunakan bagi tujuan pembersihan dan penyelenggaraan telaga tiub di kampung tersebut.

 

Selain itu, UTHM juga membantu bagi menangani masalah kemiskinan haid dalam kalangan penduduk kampung menerusi perkongsian ilmu berkaitan pengurusan haid dalam aspek kebersihan dan kesihatan.

 

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Ts. Dr. Siti Nur Mariani Mohd Yunos, inisatif tersebut mendapat tajaan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Yayasan UTHM dan Institute of Integrated Engineering (I2E).

 

“Pelaksanaan program CSR “Period Poverty” Fasa 2 yang melibatkan penduduk Kampung Kangkar Senangar dan dua kampung lagi berhampiran itu diharapkan dapat memberi pengetahuan dan pendedahan kepada golongan wanita setempat dalam menangani isu kemiskinan haid.

 

“Penggunaan pad sanitari guna semula itu mampu membantu mengurangkan beban pembelian pad sanitari pakai buang setiap bulan,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor