PDRC PASTIKAN AGENDA PERUMAHAN IKUT KOMPONEN YANG DITETAPKAN


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PDRC dan Mesyuarat Penyelarasan Rumah Kasih Johor (RKJ) baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Reka Bentuk (PDRC) akan terus memastikan syarikat pemaju mematuhi dasar perumahan dengan membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) pada harga kurang daripada RM150,000 mengikut komponen yang sudah ditetapkan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata pihaknya akan terus memantau kemajuan projek secara agresif bagi memastikan daya saing maksimum dari pihak pemaju dalam mewujudkan komponen rumah mampu milik sewajarnya.

 

“Sehingga semalam, PDRC telah melaksanakan 13 sesi persidangan pembangunan rumah di 10 daerah di Negeri Johor dan 14 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta bertemu dan mengikat komitmen 53 pemaju dengan sejumlah 13,709 unit RMMJ,” jelasnya.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menetapkan sasaran baharu iaitu sebanyak 30,000 unit RMMJ akan dibina di Johor menjelang tahun 2026.

 

Sementara itu, EXCO Perumahan itu turut memaklumkan pelaksanaan projek Rumah Kasih Johor (RKJ) yang juga merupakan cetusan idea daripada Menteri Besar Johor itu bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat memiliki rumah yang optimum.

 

“Peruntukan sebanyak RM5 juta akan disalurkan menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bagi memastikan golongan tidak berkemampuan di 10 daerah di negeri ini (mendapat inisiatif ini) dengan 50 orang penerima yang telah ditapis pihak Pejabat Daerah.

 

“Semua penerima tersebut tidak perlu membayar semula kos kerana semua kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Sebanyak 50 unit rumah dijangka siap sepenuhnya pada awal Februari depan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor