ZAKIUDDIN, UMMI RADHWA JOHAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT NEGERI JOHOR


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat menyempurnakan perasmian penutup Majlis Tilawah Al-Quran Kali Ke-69 dan Perujian Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor Tahun 1446H / 2025M. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Qari daerah Muar, Mohammad Zakiuddin Hanafi dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor Tahun 1446H/2025M manakala Ummi Radhwa Mohd Zulkifli dari Pontian pula diumum sebagai Johan bagi kategori Qariah.

 

Kejayaan itu membolehkan Zakiuddin dan Ummi Radhwa membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi serta akan mewakili Negeri Johor ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-69 yang bakal berlangsung di Perlis.

 

Sementara itu, Naib Johan bagi kategori Qari pula disandang oleh Mohamad Yusuf Kassim yang turun sebagai Johan Menunggu manakala Naib Johan Kategori Qariah pula menjadi milik Nur Farhan Fiffy dari Muar. Kedua-duanya menerima wang tunai RM10,000 berserta trofi.

 

Bagi Tempat Ketiga dimenangi oleh Mohamad Fahmy Ismail, Qari dari Batu Pahat dan Qariah Johor Bahru iaitu Masfirah Hilman.

 

Sementara itu, Kategori Hafazan 30 Juzuk Berserta Tafsir Lelaki menyaksikan Mohamad Daniel Haziq Kaswadi yang juga wakil daerah Kulai muncul sebagai Johan manakala Siti Alyaa Atikah Hamdan dinobatkan pemenang kategori wanita dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 trofi dan sijil.

 

Kesemua pemenang bagi kedua-dua pertandingan berkenaan diumumkan oleh YBhg Tuan Haji Yosree Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor merangkap Pengerusi Jemaah Hakim Perujian Tilawah Al-Quran di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.

 

Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat menyempurnakan perasmian penutup Majlis Tilawah Al-Quran Kali Ke-69 dan Perujian Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor Tahun 1446H / 2025M. Turut berangkat sama ialah YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

 

Turut mengiringi keberangkatan Baginda ialah YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami YB Dato’ Dennis Muhammad Bin Abdullah dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor