POLIS JOHOR BUKA KERTAS SIASATAN ISU PARTI LIAR


Kenyataan Media dimuatnaik oleh Polis Johor berkaitan isu parti liar.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis Johor memberi amaran keras kepada penganjur parti liar “Gang Bang JB Party” yang tular di media sosial agar tidak meneruskan penganjurannya.

 

Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga telah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program tidak bermoral itu.

 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

“Bagi kesalahan penyebaran melalui media sosial, pihak polis akan membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

 

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebih tempoh setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Kamarul Zaman, pihak polis akan membuat pemantauan berterusan berkaitan sebarang bentuk penganjuran acara yang menyalahi undang-undang.

 

“Sehubungan itu, polis memberi amaran yang keras kepada pihak penganjur agar acara tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.

 

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menggugat ketenteraman awam,” tambahnya.

 

Terdahulu, tular sekeping poster melalui Twitter bertajuk “Gang Bang JB Party” yang mempromosikan pesta seks bebas.

 

Program yang dijangka akan diadakan pada 20 Jun itu turut mendapat tentangan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor