1,513 CALON SPM JOHOR SKOR A SEMUA MATA PELAJARAN

YBrs. Tuan Mohd Hanafi Samad, Pengarah Pendidikan Negeri Johor mengumumkan keputusan SPM Tahun 2024 Negeri Johor di bilik mesyuarat utama, Jabatan Pendidikan Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Seramai 1,513 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 di Johor memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 1,247 calon pada 2023.

 

Daripada jumlah berkenaan, seramai 41 calon SPM 2024 meraih gred A+ dalam semua mata pelajaran iaitu meningkat seramai 21 orang berbanding hanya 20 calon untuk tahun sebelumnya.

 

Bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pula, seramai 16 daripada 168 calon berjaya meraih keputusan cemerlang iaitu empat calon masing-masing mendapat 8A dan 7A serta lapan calon pula 6A.

 

Selain itu, sebanyak tujuh Sekolah Berasrama Penuh (SBP), 26 sekolah kategori Sekolah Luar Bandar, 55 sekolah kategori Sekolah Bandar, 41 sekolah kategori Sekolah Menengah Harian, 20 sekolah kategori Sekolah Menengah Agama, lima sekolah kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan lapan sekolah kategori Sekolah FELDA mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil.

 

Untuk keputusan SPM 2024, Johor berjaya merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) negeri 4.36 sekali gus melepasi paras GPN nasional iaitu 4.49 berbanding GPN negeri 4.48 untuk SPM 2023.

 

Terdahulu, YBrs. Tuan Mohd Hanafi Samad, Pengarah Pendidikan Negeri Johor mengumumkan keputusan SPM Tahun 2024 Negeri Johor di bilik mesyuarat utama, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, hari ini.

 

#SPM2024
#JPNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor