29 LOKASI JUALAN KHAS SYAWAL MADANI PERINGKAT NEGERI JOHOR


Progam ini bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim Aidilfitri yang menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2.25 juta.

 

MUAR — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka Jualan Syawal Madani di 29 outlet pemasaran FAMA seluruh negeri Johor termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal dan Agrobazaar Rakyat (ABR).

 

Progam ini bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim Aidilfitri yang menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2.25 juta.

 

Pengarah FAMA Negeri Johor, Shahrizan Sudiman, berkata pihaknya akan berusaha memastikan bekalan di setiap lokasi di seluruh negeri mencukupi dan pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan mereka menjelang hari lebaran.

 

Katanya, program ini sedikit sebanyak dijangka mampu menampung keperluan hari raya untuk para pengguna. Kerjasama antara beberapa jabatan dan agensi di bawah KPKM seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) diharap dapat membantu dalam memastikan ianya mencukupi dan terjamin.

 

“FAMA Johor hanya membekal barangan keperluan manakala pengawalan harga tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

 

“Setiap usahawan di outlet pemasaran FAMA hendaklah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 yang telah dikeluarkan oleh KPDN,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Jualan Khas Syawal Madani 2023 Peringkat FAMA Negeri Johor yang berlangsung di perkarangan Pasar Tani Stadium Muar di sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim yang juga wakil rasmi Exco Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

 

Turut hadir, Pengarah LPP Johor, Amiruddin Haji Bahar dan Pengarah LPNM Johor, Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof.

 

Sementara itu, Selamat menyambut baik program seumpama ini yang sememangnya amat dinantikan oleh penduduk setempat dalam mendapatkan barangan keperluan yang segar tetapi pada harga yang berpatutan.

 

“Ini adalah inisiatif yang sangat baik dalam membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup yang kian meningkat. Menerusi program ini, mereka juga boleh mendapatkan produk mentah segar seperti daging, ayam dan pelbagai jenis sayuran pada harga berpatutan.

 

“Selain itu, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, burasak, lepat loi dan pelbagai juadah untuk hari raya turut dijual di 29 lokasi jualan Syawal Madani,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor