MENTERI BESAR: MEDIA BERPERANAN PENTING DI NEGERI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pengamal media turut bertindak sebagai barisan hadapan di dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan pantas. | Foto oleh: Nurul Asyiqin Jalil, MDJ

 

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri menghargai pelbagai peranan yang dimainkan oleh pengamal media termasuk sebagai perantara dalam berkongsi dasar dan inisiatif yang dilaksanakan bagi menjayakan misi Johor menjadi negeri maju menjelang 2030.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pengamal media turut bertindak sebagai barisan hadapan di dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan pantas kepada beliau dan rakyat sepanjang menjawat jawatan itu sejak setahun yang lalu.

 

“Saya sering menerima laporan daripada rakan-rakan media yang berkongsi masalah jalan rosak, infrastruktur yang tidak lengkap dan pelbagai perkara yang boleh membawa keresahan rakyat .

 

“Ini menunjukkan bahawa pengamal media di negeri Johor juga mahukan yang terbaik buat negeri ini,”katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Wartawan dan Pengamal Media Sosial Negeri Johor di kediaman rasminya semalam.

 

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada wartawan yang telah banyak bersabar dalam usaha mendapatkan maklumat dan reaksi daripadanya terhadap sesuatu isu.

 

“Kepada rakan-rakan media, terima kasih kerana banyak bersabar dengan saya. Pada awalnya, saya mengelak daripada anda semua (pengamal media) kerana ada sebabnya yang tersendiri.

 

“Selaku Menteri Besar, saya perlu bertanggungjawab dalam berbicara. Jika saya bercakap tanpa fakta dan semberono, negeri Johor yang akan menerima kesan buruk.

 

“Itu bukan cara orang Johor… Orang Johor ini apabila bercakap, dia berbuat demikian berlandaskan fakta dan isi yang tepat. Jadi, saya perlu menjaga maruah orang Johor,” tambahnya.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada pengamal media di negeri Johor untuk terus mengharumkan nama negeri.

 

“Saya menyeru kepada rakan-rakan media untuk rapatkan saf dan sama-sama kita harumkan nama negeri Johor. Kalian semua sudah banyak menyumbang kepada pelbagai kejayaan yang telah dikecapi oleh negeri yang kita cintai ini.

 

“Saya tidak boleh bergerak berseorangan. Saya perlukan sokongan dari anda semua untuk kita sama-sama jadikan negeri Johor menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor