3 PPS MASIH BEROPERASI, BANJIR SEGAMAT TIDAK BERUBAH


Keadaan banjir di Segamat pada 2 November lalu | Gambar arkib.

 

ISKANDAR PUTERI — Keadaan banjir di daerah Segamat, masih menunjukkan trend tidak berubah setakat jam 8 pagi, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan Segamat merupakan satu-satunya daerah yang terjejas dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

Ketiga-tiga pusat pemindahan tersebut iaitu Balairaya Kampung Batu Badak, Balairaya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Tasek menempatkan 18 keluarga terdiri daripada 57 orang mangsa.

Kesemua mangsa merupakan dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 serta Kampung Kuala Paya.

Dimaklumkan kejadian banjir berlaku disebabkan oleh limpahan air sungai pada 2 November yang lalu menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air.

Antara agensi yang terlibat dalam pengurusan banjir adalah Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Penghulu Mukim, Ketua Kampung serta lain-lain agensi.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor