38 PPS MASIH BEROPERASI MENEMPATKAN MANGSA BANJIR


Khidmat penghantaran bekalan makanan di kawasan terputus hubungan di Mukim Kahang | Sumber gambar Facebook Apm Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 38 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir terkini di tujuh daerah, yang menunjukkan trend penurunan.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam laporan jam 4 petang memaklumkan, jumlah keluarga terjejas adalah 969 keluarga terdiri 3,498 penduduk.

 

Tiga PPS di Batu Pahat dilaporkan telah ditutup iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Parit Haji Kamisan, Sekolah Kebangsaan (SK) Sepakat Jaya dan SK Seri Binjai.

 

Kesemua PPS terbabit yuang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Parit Haji Kamisan dan Lorong Haji Abdul Aziz Tongkang Pechah itu ditutup jam 3 petang tadi.

 

Tiada perubahan bagi PPS yang masih beroperasi di enam daerah lain iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

 

Setakat ini, Jalan Tanah Abang (J228) di Mersing, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai dan Jalan FELDA Medoi (FT1384) di Segamat masih ditutup untuk semua kenderaan.

 

Manakala Jalan Mawai Lama (J172) dan Jalan Lok Heng / Mawai / Sungai Mas (FT99) di Kota Tinggi serta Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J156) di Segamat hanya dibuka kepada kenderaan berat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor