1,020 SV BOX DIAGIHKAN KEPADA MANGSA BANJIR


Pasukan Southern Volunteers telah mula mengerakkan khidmat pembersihan premis dan kediaman yang terjejas akibat banjir | Sumber gambar Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 1,020 Southern Volunteers (SV) Box sudah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Johor setakat pagi tadi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Segamat menjadi daerah tertinggi diagihkan iaitu 190 SV Box, diikuti Kota Tinggi, Tangkak dan Kluang dengan masing-masing sebanyak 150 SV Box.

 

“Turut diagihkan ialah ke daerah Mersing (130), Muar (100), Batu Pahat (100) dan Pontian (50).

 

“Hari ini menyaksikan cuaca agak baik dan hujan sudah mulai reda dan beberapa mangsa bangsa banjir sudah mula dibenarkan pulang ke rumah,” kata beliau di Facebooknya.

 

Mohd Hairi berkata, bagi fasa seterusnya, pasukan SV sudah mula berkerjasama membuat pembersihan di rumah mangsa secara berperingkat.

 

“Pihak SV juga digerakkan untuk membantu membuat pembersihan di kawasan yang melibatkan bangunan kemudahan awam.

 

“InsyaAllah sama-sama kita doakan usaha dan proses Fasa Kedua ini dapat berjalan dengan lancar serta dipermudahkan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor