5 TAN BARANG KEPERLUAN DITERBANGKAN KE MERSING DAN KLUANG


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerusi Unit Udaranya telah melakukan khidmat khas penghantaran bekalan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Johor / Gambar Ihsan JBPM Johor.

 

KLUANG — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sudah melaksanakan khidmat khas logistik banjir menerusi Unit Udara JBPM ke daerah Mersing dan Kluang sepanjang tempoh banjir kali ini.

Khidmat khas yang dilaksanakan bermula dari 26 Januari hingga semalam sudah menerbangkan lebih 5 tan bekalan keperluan ke kawasan terjejas banjir khususnya lokasi kejadian yang tidak dapat diakses menerusi laluan darat dan air.

Pemangku Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang, berkata khidmat penerbangan menggunakan helikopter jenis Augusta AW139 itu diketuai Penguasa Bomba Faridullahamin Mohd Noh bersama empat kru.

Katanya, pada hari pertama dan kedua kejadian banjir di Johor, pihak JBPM Johor sudah menghantar bekalan barangan keperluan seberat 1,850 kilogram (kg) ke Kampung Peta di Mersing manakala barangan sama seberat 400 kg pula dihantar ke Kampung Punan.

“Pada hari ketiga, khidmat khas JBPM Johor sekali lagi menghantar barangan keperluan seberat 2,150 kg sebelum misi terbabit diteruskan dengan menghantar bantuan sama seberat 750 kg ke Ladang Sungai Semberong untuk diagihkan kepada penduduk dan pekerja yang terputus hubungan di kawasan berkenaan.

“Semua khidmat khas logistik banjir ini dilaksanakan dengan penyelarasan menerusi Pejabat Daerah Kluang dan Pejabat Daerah Mersing dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor,” katanya.

Mohd Rizal berkata, selain penghantaran bantuan bekalan barangan keperluan, Unit Udara JBPM juga turut menerbangkan tiga pesakit yang mengalami kompilasi kehamilan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Enche’Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor