69 PAM BERGERAK BANTU PENGEPAMAN AIR BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 69 unit pam bergerak ditempatkan di tujuh daerah yang terkesan bagi menjayakan operasi pengepaman air banjir, sehingga 21 Mac lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, daripada jumlah tersebut, 41 unit ditempatkan di Batu Pahat.

 

“Saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) luar Johor yang turut bantu dalam usaha pam air banjir. Dari JPS Malaysia, Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM),” katanya dalam ucapan Penggulungan pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Raven Kumar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM41 juta pada tahun ini, bagi kerja penyelenggaraan infrastruktur JPS seperti sungai, parit, pembetung, pintu air, pantai dan jalan ladang.

 

Ujarnya, selain itu, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM2.49 juta pada tahun ini, bagi fasa pertama kerja mengurangkan risiko banjir di lokasi yang telah dikenalpasti di negeri ini.

 

“Manakala projek RTB yang akan dilaksanakan adalah Projek Mengatasi Banjir di Kampung Sungai Kapal Lama di Kota Tinggi yang dijangka mula pada tahun depan.

 

“(Selain itu) RTB Kampung Spang Loi, RTB Sungai Batu Pahat, RTB Sungai Batu Pahat (Sri Medan), RTB Sungai Pemandi, RTB Lembangan Sungai Kesang dan RTB Lembangan Sungai Johor Fasa 1 pada tahun ini,” katanya.

 

Beliau berkata, pelaksanaan projek bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di bawah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) melibatkan 140 stesen hidrologi serta membina baru stesen hidrologi di 107 lagi lokasi di seluruh Johor.

 

Katanya, projek untuk meramal kejadian banjir tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan amaran banjir dua hari sebelum kejadian itu sedang dijalankan dan dijangka siap pada tahun depan.

 

Selain itu, Raven Kumar memberitahu kerajaan negeri melalui JPS telah mengemukakan permohonan bagi Projek Pemulihan Sungai Muar dan Projek Saringan Mesra Alam Bandar Maharani di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

 

“Bagaimanapun pelaksanaan kedua-dua projek ini adalah bergantung kepada kelulusan yang diterima untuk projek RMKe-12 akan datang,” katanya.

 

Beliau juga memberitahu JPS telah melaksanakan kajian bagi mengenalpasti punca dan cadangan penyelesaian bagi mengurangkan kesan banjir di Sri Medan antaranya membina kolam takungan banjir, namun ia bukan pilihan terbaik berdasarkan implikasi kewangan serta ‘volume of flood reduction’.

 

“Untuk kawasan pertanian Johor Barat di daerah Pontian, Batu Pahat dan Muar, kerajaan negeri telah melaksanakan kajian semula projek Johor Barat dan kini di peringkat akhir yang mana elemen perubahan iklim juga telah diambil kira di dalam menyediakan cadangan mitigasi banjir termasuk banjir termenung,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor