KERAJAAN JOHOR SALUR PERUNTUKAN SEKOLAH TERJEJAS TERUK


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan RM500,000 kepada sekolah yang mengalami kerosakan sangat teruk di Segamat dan Batu Pahat akibat bencana banjir.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, sebanyak 52 sekolah di negeri ini, dinaiki air susulan bencana banjir yang melanda Johor pada 28 Februari hingga 21 Mac lalu.

 

Menurutnya, sebanyak 187 sekolah telah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di mana sehingga kini, masih terdapat 19 sekolah di Batu Pahat masih beroperasi bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

 

“Saya juga sendiri turun padang bersama guru dan sukarelawan membantu membersihkan kawasan sekolah yang terlibat dengan banjir. Saya telah menyaksikan sendiri kerosakan kerusi dan meja serta peralatan lain.

 

“Oleh itu, jumlah kerusi murid setakat ini masih boleh menampung keperluan murid dengan penyelarasan anatra Pejabat Pendidikan Daerah. Namun demikian, kerusi dan meja guru yang rosak telah dalam tindakan Sektor Infrastruktur dan Perolehan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Norlizah berkata, Bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menurunkan waran perolehan aset sekolah dengan menggunakan peruntukan sedia ada bagi membuat perolehan penggantian aset khusus sekolah terkesan banjir.

 

“Bagi mengurangkan bebanan keluarga murid yang terlibat dengan banjir, pelajar terkesan banjir dibenarkan hadir ke sekolah tanpa pakaian seragam sekolah.

 

“Peralatan persekolahan termasuk alat dan buku tulis juga diberi kelonggaran agar murid yang terjejas banjir dapat memulakan sesi pembelajaran di sekolah,” katanya.

 

Mengenai perkembangan inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri ini, Norlizah berkata, sebanyak 151 tapak menara baharu siap dibina bagi Fasa 1 sehingga suku keempat tahun lalu.

 

Pada tempoh tersebut juga, 4,452 stesen pemancar dinaiktaraf, 383,724 ketersediaan sambungan gentian optik di premis dijayakan serta 11 jalur lebar satelit juga telah disiapkan.

 

“Usaha penambahbaikan liputan dan rangkaian adalah merupakan satu usaha yang berterusan oleh kerajaan agar kualiti pengalaman oleh pengguna sentiasa diperbaiki dari masa ke masa. JENDELA Fasa 2 seterusnya akan memberi tumpuan untuk merapatkan jurang digital yang tidak tercapai ketika Fasa 1,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan Digital Nasional Berhad (DNB) merancang untuk mendirikan hampir 7,500 stesen pemancar 5G di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.

 

“Dengan sasaran sebanyak 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di mana 899 daripadanya berada di Johor. Sehingga 12 Mac 2022, sebanyak 676 stesen pemancar 5G telah disiap di Johor dan 630 daripadanya telah pun beroperasi sepenuhnya.

 

“Sehingga 28 Februari 2023, liputan 5G di kawasan berpenduduk negeri Johor berada pada kadar 52.3 peratus. Meskipun pelaksaaan 5G masih belum meluas terutama di kawasan luar bandar, liputan 4G melalui pelaksanaan JENDELA sehingga suku keempat 2022 telah mencapai 99.09 peratus,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor