KERAJAAN NEGERI SEDIA IMAM, BILAL DI PPS


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menyaksikan proses cerapan yang dijalankan Jawatankuasa Ru’yah Hilal Negeri Johor di Baitul Hilal Negeri Johor, Pontian Kecil, semalam.

 

PONTIAN — Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat menyediakan imam dan bilal di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah tersebut bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat fardu dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di bulan Ramadan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, bagi tujuan sama, PPS yang memerlukan kemudahan khas seperti khemah pula, akan diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

 

“Usaha-usaha memberi keselesaan kepada semua penghuni PPS memang kita (kerajaan negeri) tekankan dan tidak boleh lengahkan tentang keperluan beribadah terutama untuk solat tarawih ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Cerapan Hilal Ramadan 1444H/2023H di Baitul Hilal Negeri Johor, Pontian Kecil, di sini, semalam.

 

Mohd Fared berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur kepada penduduk yang masih ditempatkan dan berlindung di PPS.

 

“Dua tiga hari pertama ini mereka akan berada di sana (PPS), tapi kita berdoalah mudah-mudahan air cepat surut supaya kita mahu mereka balik ke rumah dengan cepat. Sekiranya masih belum surut, PPS tersebut akan tetap dibuka bagi kemudahan mereka (mangsa),” katanya.

 

Antara PPS yang terlibat, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Kota Yong Peng, SK Seri Teluk Parit Yaani, SK Seri Medan, Sekolah Agama Seri Bertam, Dewan Orang Ramai Yong Peng dan Seri Medan.

 

Selain itu, SK Seri Aman, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC) Hwa Min, Pusat Pemulihan dalam Komuniti Seri Medan dan Sekolah Agama Seri Chomel.

 

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan perancangan kerajaan negeri membina sebuah Balai Cerap Negeri Johor masih di peringkat awal kajian.

 

“Sekarang ini dalam proses Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) yang akan membuat dasar-dasar awal termasuk kiraan kos yang bakal terlibat.

 

“Saya percaya bagi kajian awal dan proses semakan, (dan) ia mengambil masa antara enam bulan sehingga setahun sebelum hasil kajian tersebut diperhalusi,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor