7 BRIGED ATUR GERAK KEKUATAN BANTU MANGSA BANJIR DI JOHOR


Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged), Brigadier Jeneral Mohamad Suria Mohamad Saad. / Gambar MDJ Nurul Asyiqin Jalil.

Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Mohamad Suria Mohamad Saad turut turun padang meninjau keadaan semasa banjir di Johor / Gambah Ihsan Markas 7 Briged.

 

KOTA TINGGI — Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) sudah mengatur gerak kesemua 10 pasukan di bawah panji naungannya bagi membantu mangsa banjir di seluruh daerah di negeri Johor.

Ia termasuk mengatur gerak aset air dan darat milik pasukan Tentera Darat ini bagi memastikan semua mangsa banjir mendapat bantuan yang sewajarnya.

Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Mohamad Suria Mohamad Saad, berkata pasukan keselamatan itu sudah menggerakkan Ops Murni 7 Briged seawal 28 Februari lalu iaitu sejurus hujan lebat berterusan mula melanda negeri ini.

Katanya, ia selaras dengan persiapan yang dilakukan oleh 7 Briged yang sudah dilaksanakan oleh ketumbukkan itu pada akhir tahun lalu terutama setiap kali ketibaan musim monsun.

“Persiapan ini kita (7 Briged) sudah lakukan dari masa ke semasa. Kita juga sudah mengatur gerakan kesemuanya di 10 daerah di negeri Johor ini.

“Di Kluang kita ada Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD); 10 RAMD di Muar dan Batu Pahat, Batalion Keempat Rejimen Artileri Diraja (4 RAD) di Segamat dan Kluang; Komando atau Grup Gerak Khas (GGK) di Mersing; Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) di Kota Tinggi; 2 RAD di Pontian dan Kulai serta Askar Wataniah 501 di Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Usman Awang di sini.

Terdahulu, Mohamad Suria menghadiri taklimat banjir di PPS sama pada Program Lawatan dan Tinjauan Bencana Banjir Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kota Tinggi.

Mohamad Suria berkata, bagi bencana banjir kali ini juga, Ketumbukkan 7 Briged turut mengatur gerak 1,500 anggotanya yang terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat bagi membantu mangsa banjir di Johor.

“Selain kekuatan keanggotaan, 7 Briged juga turut mengatur gerak aset kenderaannya di seluruh di daerah di Johor membabitkan 27 bot, 21 kenderaan tiga tan dan lapan kenderaan 7 tan, selain aset kenderaan yang lain.

“Kita memang sudah membuat persiapan dari awal kerana ini adalah kali kedua (kejadian banjir) bagi tahun 2022/2023 ini,” katanya.

Beliau berkata, pasukan 7 Briged ini juga menyediakan pasukan ‘medical mobile team’ yang diatur gerak pada bila-bila masa sahaja yang sebanyak membantu dan memberikan rawatan kesihatan untuk mangsa banjir yang berlindung di PPS

“Tugas 7 Briged ini bukan hanya terhenti setakat operasi membabitkan banjir sahaja tetapi Op Murni ini juga akan diteruskan selepas banjir ini akan berakhir kelak.

“Kita juga akan melakukan tugas pasca banjir yang akan dilaksanakan seperti membersih dewan, masjid, surau, sekolah dan perkara-perkara ini akan turut diambil kira oleh setiap komander dalam pasukan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor