4 EMPANGAN REKOD BACAAN PARAS BAHAYA


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan empat empangan di negeri ini, merekodkan bacaan paras bahaya | Sumber gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Empat empangan di negeri ini, merekodkan bacaan paras bahaya berikutan hujan berterusan sejak Isnin lalu.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Beliau berkata, empat empangan itu adalah empangan Sembrong, Empangan Bekok, Empangan Labong dan Empangan Machap.

 

“Empangan Sembrong merekodkan paras air takungan semasa 12.18 meter (m) setakat 7.30 pagi ini, melebihi paras biasa 8.5m. Empangan Sembrong merekodkan hujan sebanyak 13 milimeter (mm) dan 15.3 meter padu air dikeluarkan dari empangan itu.

 

“Selain itu, Empangan Bekok mencatatkan jumlah hujan sebanyak 38mm. Justeru, sebanyak 60.56 meter padu air dikeluarkan. Bagi Empangan Machap, paras semasa dicatatkan pada paras 17.45m, berbanding paras biasa 15.85m.

 

“Sementara itu, paras semasa Empangan Labong ialah 8.81m berbanding paras biasa 8.42m setakat 8 pagi. Sebanyak 90mm hujan diterima oleh empangan itu, dan 1,378 meter padu air telah dikeluarkan,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri sangat komited untuk melindungi keselamatan rakyat, dan mencegah bencana yang lebih besar berlaku.

 

Selain itu, beliau mengajak semua rakyat untuk berdoa semoga keadaan kembali pulih selain sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim hujan.

 

“Saya akan sentiasa mengikuti perkembangan dari masa ke semasa berkaitan empat empangan ini. Saya percaya agensi-agensi yang terlibat akan melakukan yang terbaik untuk keselamatan kita semua,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor