‘KOSWEY’ BUKAN SEKADAR TAMBAK
Suatu ketika dahulu Tambak Johor atau dikenali dengan ‘Causeway’ hanya sekadar dilihat sebagai sambungan darat pertama merentasi Selat Johor menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Kini, Tambak Johor merupakan struktur penting yang menjadi nadi penghubung dan perdagangan antara dua negara malah merupakan pintu sempadan Malaysia di Johor antara yang tersibuk di dunia.
Struktur binaan sepanjang 1.05 kilometer (km) merentasi Selat Johor yang dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924 turut menjadi lambang hubungan akrab antara Johor dan Singapura dari segi sejarahnya.
Tambak Johor yang mula dibina pada tahun 1919 mencerminkan persefahaman dan persahabatan erat lagi unik Johor-Singapura yang terus kukuh sehingga ke hari ini, jelas Prof. Dr. Azmi Hassan.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Nusantara ini menyifatkan kedudukannya berhampiran pusat bandar Johor Bahru menjadikannya sebagai pintu masuk pilihan utama untuk pengembara.
Pada masa kini, Tambak Johor berperanan penting bagi pergerakan rakyat Malaysia untuk mencari rezeki di negara jiran, apatah lagi membawa limpahan ekonomi apabila warga republik di seberang berbelanja dan berdagang di Malaysia.
Menginjak usia 100 tahun kewujudannya, Tambak Johor juga menjadi saksi lebih 300,000 pengembara sehari melintasi Selat Johor menggunakan pengangkutan darat termasuklah kenderaan perdagangan.
Meskipun sebelum ini terdapat pihak yang mahu merobohkan Tambak Johor seterusnya digantikan dengan jambatan baharu, Azmi melihat perkara tersebut jika direalisasikan mampu memberi implikasi yang negatif.
Agenda berkenaan bukan sahaja dilihat akan merencatkan kepesatan pembangunan ekonomi terutama di sebelah Malaysia, tetapi turut menjejaskan hubungan baik antara Johor dan Singapura.
Dengan komitmen Malaysia dan Singapura termasuklah Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu kesesakan di Tambak Johor, Azmi yakin usaha yang diambil meletakkan struktur binaan ikonik dan bersejarah ini kekal utuh zaman berzaman.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor