BANGSA JOHOR MESTI JAGA JOHOR?
Apabila Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah mahu Negeri Johor dilayan sebagai ‘partner’ kerana bukan dimiliki oleh Malaysia, kelihatan ramai yang kurang senang dan berebut-rebut memberikan pandangan hingga mengaitkan dengan cabaran terhadap sistem federalisme.
Suka atau tidak, Bangsa Johor melihat ada asasnya tuntutan yang dibuat Pemangku Sultan Johor meskipun ada pihak yang anggap ianya bertentangan dengan semangat persekutuan. Begitu juga saranan Baginda agar ahli-ahli politik Johor bersatu dalam satu gabungan yang dilihat kena pada masanya.
Titah Pemangku Sultan Johor yang ‘straight foward’ ini bukannya sukar untuk dihadam kerana Baginda mahu semua Bangsa Johor mengembleng usaha memperjuang hak dan kepentingan negeri sahaja. Sudah semestinya Bangsa Johor dambakan pembangunan untuk berlaku demi mencapai status negeri maju pada masa akan datang.
Persoalannya, adakah kita sudah bersedia untuk menjadi sebuah negeri yang maju? Sebab hingga kini, masih terdapat isu-isu yang menuntut perhatian daripada Kerajaan Persekutuan seperti kepadatan hospital, fasiliti awam yang perlu dinaik taraf, jalan raya yang perlu diselenggara dan kesesakan lebuh raya ketika perayaan, cuti sekolah serta cuti umum.
Maka, sebab itulah Pemangku Sultan Johor mahu Kerajaan Persekutuan untuk mula melayani Negeri Johor sebagai ‘partner’. Bangsa Johor, tidak mahukah anda untuk melihat semua isu-isu ini diberikan perhatian dan diselesaikan dengan sewajarnya? Atau membiarkan kita dilihat meminta-minta dan dilayan tidak ubah seperti dianak tirikan?
Masih ingatkah kejadian kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada tahun 2016 dan 2020? Mengambil berat mengenai situasi hospital dan fasiliti kesihatan di negeri ini, Pemangku Sultan Johor telah lantang bersuara dan menggesa Kerajaan Persekutuan bertindak sejak tahun 2018 lagi.
Dek kerana kelantangan Baginda, selepas enam tahun kini barulah ada sinar terutama melibatkan isu kesesakan hospital awam di Johor Bahru apabila pembinaan Hospital Pasir Gudang kini telah mencapai tahap kemajuan lebih 80 peratus dan bakal beroperasi sepenuhnya pada April 2025. Tetapi bagaimana dengan aspek lain pula?
Justeru, hanya Bangsa Johor sahaja yang boleh menentukan dan menjaga Bangsa Johor sendiri. Penyatuan ahli politik Sarawak membentuk satu gabungan yang kuat memperjuangkan hak, autonomi dan kepentingan negeri tanpa menggugat semangat federalisme wajar dicontohi.
Ada kebenaran kenyataan Majlis Belia Negeri Johor bahawa pembentukan suara Bangsa Johor yang lebih kuat dan padu akan menarik perhatian yang lebih Kerajaan Persekutuan. Harus juga dipersetujui juga pandangan YBhg. Khairy Jamaluddin yang juga Penasihat Belia Johor agar Kerajaan Persekutuan tidak memusatkan segala kuasa dan wang di Putrajaya atas semangat federalisme.
Bangsa Johor tidak seharusnya menjadi ‘mangsa’ dan Negeri Johor tidak seharusnya ‘mengemis’ untuk meraih pembangunan tetapi dilayani sewajarnya. Untuk itu, Bangsa Johor perlu bersatu padu memperjuangkan hak dan kepentingan negeri seperti yang dilakukan oleh Pemangku Sultan Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor