KURSI TUNKU MAHKOTA ISMAIL: MENYEMAI LEGASI, MERENTASI GENERASI

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Oleh Badrul Kamal Zakaria
Editor Kanan Media Digital Johor
12 kali muncul sebagai Juara Liga Super Malaysia sejak 2013, 6 kali Juara Piala Malaysia termasuk empat daripadanya dilakar secara empat berturut-turut sejak 2022, menjadi Juara Piala AFC 2015 yang pertama dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara, memecah rekod dunia dengan rentetan 112 perlawanan liga domestik tanpa kalah.
Itu hanya sekilas fakta kecil yang penulis boleh rangkumkan terhadap pelbagai pencapaian gemilang luar biasa yang telah dilakar oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim sebelum ini dan penulis percaya, akan ada lebih banyak lagi kejayaan yang akan menyusul selepas ini.
Tetapi bukan bola sepak yang penulis ingin sampaikan pada komentar kali ini. Walaupun bidang sukan termasuk bola sepak bukan sesuatu yang asing bagi penulis… tetapi biarlah apa yang mereka katakan ‘pakar’ tentang bola sepak sahaja yang mengulas lebih lanjut mengenainya.
Apa yang penulis cuba tekankan pada penulisan kali ini adalah tentang ‘Falsafah, Doktrin, Pegangan, Ilmu, Pemikiran, Visi dan Misi’ yang telah, sedang dan akan dicetuskan oleh figura yang amat kita termasuk diri penulis sendiri kagumi… tidak lain, tidak bukan dan hanya satu iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Mungkin penulisan kali ini agak berat sedikit berbanding dengan nukilan terdahulu. Tidak dapat tidak, penulis perlu menyatakannya. Setuju atau tidak, itu perbahasan yang kemudian kita boleh bicarakannya. Nukilan kali ini terbit dari hati nurani penulis sendiri yang melihatnya daripada kaca mata seorang pengamal media, perlu ‘berdaya nalar’ patriotik… setia kepada agama, bangsa dan negeri yang kita cintai.
Sebagai orang yang agak terbiasa berdiri di beraneka lapangan, bertemu banyak orang, memerhati perubahan evolusi landskap politik dan pentadbiran negeri, mengenali ragam masyarakat dan generasi yang rencam, penulis secara peribadi berpendapat kini tiba masanya untuk bergerak ke sesuatu yang lebih serius supaya apa yang sudah, sedang dan akan dibina selama ini… tidak akan disia-siakan dengan begitu sahaja.
Seperti kata pujangga Inggeris, ‘Opportunities Are Like Sunrises. If You Wait Too Long, You Miss Them’ atau maksud terjemahan mudah dalam bahasa lokal yang senang kita faham – Peluang tidak akan selalunya datang dua kali. Justeru bagi penulis, kini adalah masa yang tepat untuk kita… untuk Johor menubuhkan sebuah kursi akademik yang serius… yang menjadi wadah wacana dalam membina masa depan negeri yang lebih gemilang.
Justeru bagi penulis, penubuhan kursi akademik atau erti kata nama lain…. Kursi Tunku Mahkota Ismail dilihat sebagai satu keperluan untuk setiap orang daripada kita, tidak kisah berada di peringkat mana sekali pun. Ia akan menjadi satu ‘blue print’ dalam setiap diri Bangsa Johor untuk bersama-sama membangunkan, memajukan dan memperkasakan negeri yang kemudiannya akan bersama-sama menikmati manfaat yang terhasil daripada pandangan tajam yang telah dikemukakan oleh Baginda Tunku sebelum ini.
Visi dan misi… falsafah, doktrin dan pemikiran yang dicetuskan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail perlu didiskusi dengan lebih serius dan tuntas supaya ia kekal menjadi pedoman serta panduan buat seluruh Bangsa Johor termasuk mereka yang berada di peringkat atasan kepimpinan negeri.
Sebagaimana yang kita semua maklum, pemikiran dan pandangan DYAM Tunku Mahkota Ismail mungkin agak berbeza daripada diri kita sendiri. Jika kita menggelarkan diri kita sebagai seorang patriotik maka Baginda Tunku adalah lebih patriotik daripada kita semua. Setiap tindak tanduk dan gelagat Baginda sama ada dari segi ‘verbal atau non verbal’ adalah demi kepentingan Johor dan rakyatnya.
Membuatkan sosok tubuh DYAM Tunku Mahkota Ismail lebih berbeza dengan diri kita rakyat jelata adalah diri Baginda itu sendiri. Baginda Tunku telah dibesarkan oleh dua tokoh utama Johor itu sendiri iaitu nenda Baginda, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, ayahanda Baginda, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Malah, Baginda juga turut mendapat didikan secara langsung daripada Bonda Baginda sendiri iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pula adalah lulusan daripada Universiti Oxford, sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka dunia.
Selain itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut didedahkan dengan aspek militari yang secara tidak langsung menjadi nilai tambah kepada kewibawaan Baginda. Aspek ketenteraan ini jugalah yang akhirnya turut membentuk jati diri Baginda Tunku yang bukan sahaja sebagai seorang strategis ulung, tetapi juga mampu melihat sesuatu itu dari ruang sudut perspektif yang berbeza, sekali gus mampu memberi manfaat kepada Johor dan rakyatnya, satu kemakmuran nikmat yang kita sendiri sudah boleh merasai kesannya pada hari ini.
Ketika kita masih hanyut meniti zaman persekolahan dan masa remaja yang mengasyikkan, DYAM Tunku Mahkota Ismail pula mengorban dirinya untuk Bangsa Johor. Berkelana ke negara asing seperti India untuk menuntut ilmu. Bukan sekadar ilmu peperangan, tetapi juga soal bagaimana untuk mengurus sebuah organisasi… bagaimana melihat sesuatu dari sudut pro dan kontranya… bagaimana untuk menyemai semangat patriotik kepada rakyatnya dan bagaimana Johor akan membina Johor mengikut acuan Johor itu sendiri.
DYAM Tunku Mahkota Ismail juga sanggup melepaskan ‘masa mudanya’ demi untuk mengabdikan diri Baginda kepada Bangsa Johor apabila dilantik sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006 pada usia 22 tahun. Beban yang dipikul Baginda Tunku terus bertambah apabila dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada 28 Januari 2010 dan kini menggalas tugas sebagai Pemangku Sultan Johor pada 2024. Penulis percaya, Baginda Tunku tidak sesekali pernah mengeluh kerana Baginda adalah ‘the chosen one’ yang telah ditakdirkan oleh Allah untuk menggalas tugasan yang berat ini.
Tidak perlu bercakap mengenai JDT yang diasaskan oleh Baginda Tunku yang sememangnya telah mencapai pelbagai kejayaan yang mungkin tidak mampu lagi dicapai oleh mana-mana pasukan lain di Malaysia atau pun kelab bola sepak lain di peringkat serantau. JDT sudah di ‘another level’ dan itu adalah faktanya.
Pemikiran kritis DYAM Tunku Mahkota Ismail juga terserlah di dalam pelbagai bidang. Antara yang penulis boleh sertakan di sini adalah bagaimana ‘idea di luar kotak’ Baginda dalam menubuhkan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang dilihat mampu menjadi satu anjakan paradigma terhadap sistem pendidikan negara khususnya Johor pada masa depan.
Ketika orang lain menumpukan tentang peluang pekerjaan, Baginda pula tidak hanya memandang tentang kuantiti jumlah pekerjaan yang diwujidkan semata-mata, tetapi Baginda tampil dengan idea yang lain daripada yang lain iaitu Gaji Premium. Idea ini sememangnya sesuatu yang ‘fantastik’ untuk dibicarakan kerana ia secara tidak langsung akan mengubah hidup sesebuah keluarga secara total dan pada masa sama dapat memacu pertumbuhan Johor yang lebih pesat, setara dengan apa yang ada di negara maju yang lain.
Untuk merealisasikannya, Baginda Tunku sendiri sanggup turun padang ke beberapa negara luar demi membuka jalan kepada Kerajaan Negeri untuk menarik kedatangan pelabur untuk ke Johor. Demi Johor, Baginda Tunku akan menggunakan segala apa yang ada pada diri Baginda termasuk ‘personal connection’ dan semua ini dilakukan demi memastikan ekonomi Johor akan terus makmur dan setiap lapisan Bangsa Johor akan dapat merasai manfaatnya tanpa ada satu pun rakyat di negeri ini yang terkecuali.
Bak kata pepatah Cina, hī zǐ bó tù, yì yòng quán lì atau terjemahannya singa juga akan menggunakan seluruh kekuatan walaupun hanya sekadar memburu arnab. DYAM Tunku Mahkota Ismail tidak melihat sesuatu itu kecil atau besar asalkan ia mampu membawa manfaat kepada Johor dan rakyatnya.
Penulis mohon maaf, jika tak salah, falsafah seumpama ini juga turut diterapkan oleh Baginda Tunku di dalam pasukan JDT. Sebagai seorang pemimpin yang berkaliber, DYAM Tunku Mahkota Ismail sedar sikap mazmumah seperti memandang rendah, memperkecilkan sesuatu atau memandang hina boleh mengundang padah kepada diri sendiri.
Sebab itulah, JDT sentiasa menyenaraikan kesebelasan terbaik walaupun hanya menentang pasukan tercorot sekali pun. Falsafah ini juga yang dapat dilihat dalam karakter peribadi Baginda Tunku dalam setiap apa yang dilakukan kerana konsep utama yang didukung Baginda ialah Johor Tetap Jadi Johor.
Penulis berasakan tidak perlu menulis lanjut mengenai apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail kerana ia telah dibuktikan telah membawa pelbagai kejayaan sama ada diakui kawan atau cuba diperlekehkan lawan kerana itu adalah fakta yang sama sekali tidak mampu disangkal oleh sesiapa pun.
Cuma penulis agak berasa risau jika tiada tindakan proaktif yang dilakukan dengan sewajarnya, semuanya ‘khazanah Bangsa Johor’ ini bukan sahaja disia-siakan tetapi ia mungkin dilupakan mengikut peredaran zaman. Lebih membimbangkan, apa yang DYAM Tunku Mahkota Ismail bina pada hari ini juga akan mendapat tafsiran yang berbeza oleh generasi terkemudian hari.
Justeru, penubuhan Kursi Tunku Mahkota Ismail ini dilihat sebagai satu solusi terbaik dalam mempertahankan ‘khazanah’ yang Johor miliki hari ini. Menerusi penubuhan kursi akademik ini, ia akan membolehkan setiap buah fikiran Baginda Tunku bukan sekadar dapat diterjemahkan dalam bentuk jurnal akademik, simposium atau perdebatan secara ilmiah semata-mata, tetapi usaha kecil ini juga akan turut membolehkan setiap Bangsa Johor dapat ‘mencerna’ setiap pandangan tajam yang dilontarkan oleh Baginda Tunku sebelum ini sama ada berbentuk muhkamat yang nyata atau mutasyabihat yang tersembunyi.
Apa yang lebih penting, penubuhkan Kursi Tunku Mahkota Ismail ini akan berperanan sebagai arkib yang akan mencatat, mendokumentasi serta merekod segala ‘evolusi dan revolusi’ yang cuba dibawa oleh Baginda Tunku yang bukan sahaja sangat memahami apa yang diperlukan dan apa yang tidak… mengikut acuan yang dibina oleh Bangsa Johor untuk Negeri Johor.
Usaha penubuhan Kursi Tunku Mahkota Ismail ini bukan sesuatu yang asing sama ada di Malaysia atau negara luar kerana kita juga mempunyai beberapa kursi akademik di luar negara termasuk yang terbaharu iaitu Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim yang kini sudah memulakan sesi akademiknya di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di China.
Perkara ini juga tidak mustahil untuk direalisasikan di Johor memandangkan kita juga mempunyai dua institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Lebih memberangsangkan ialah DYAM Tunku Mahkota Ismail juga adalah Canselor UTHM dan juga antara IPT yang dekat dengan diri Baginda sendiri.
Semoga idea untuk menubuhkan Kursi Tunku Mahkota Ismail ini dapat diwujudkan dan direalisasikan demi kepentingan masa depan Johor dan rakyatnya. Apa yang cuba dibina hari ini mungkin hanyalah sebuah impian dan cita-cita…. ia juga mungkin bakal menjadi sebuah legasi… legasi yang bakal merentasi generasi.
#TunkuMahkotaIsmail
#KursiTunkuMahkotaIsmail
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



